Kenyataan Media Ketua Wanita KEADILAN 3hb Ogos 2020



Hari ini tatkala rakyat kembali ke ibu kota setelah bersama ibu ayah serta keluarga menyambut perayaan Hari Raya Korban, kita di kejutkan dengan berita seorang pensyarah wanita dari salah satu IPTA diMalaysia yang di laporkan dibunuh, dengan cara dililit leher menggunakan tudung yang dipakai olehnya.

Suami wanita tersebut kemudian mengaku bersalah dan dilaporkan juga bahawa pasangan tersebut sedang berhadapan masalah.

Wanita KEADILAN mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga allahyarhamah yang tentu sekali terkesan dengan mendalam serta mendoakan kesabaran dan ketabahan buat seisi keluarga.

Wanita KEADILAN juga turut menyatakan kekesalan yang amat sangat diatas insiden ini.

Suami merupakan pelindung buat wanita dan suami isteri merupakan pelengkap diantara satu sama lain. Manakala institusi keluarga pula merupakan unit-unit kecil yang membentuk masyarakat yang dibina diatas dasar kasih sayang, tolak ansur, mawaddah wa rahmah serta nilai-nilai murni yang dipupuk dalam keluarga. Sekiranya baik institusi keluarga, maka baiklah juga masyarakat yang terhasil darinya.

Namun tidak dinafikan bahawa keadaan tidak semestinya ideal seperti yang diinginkan oleh  setiap yang membina keluarga. Realitinya, pembentukan keluarga yang berkasih sayang yang kemudiannya mampu membentuk masyarakat harmoni serta ummah, perlu kepada usaha sungguh-sungguh dari semua pihak, sama ada individu dalam keluarga tersebut, masyarakat setempat, sistem sokongan yang baik, serta juga dasar-dasar kerajaan yang membina.

Sekiranya satu-satu keluarga berhadapan dengan masalah, maka tidak harus segan atau malu untuk meminta pertolongan dari ahli keluarga yang lain, rakan sekerja, jiran tertangga mahupun dari institusi khas yang diwujudkan untuk menolong.

Memohon untuk dibantu mungkin dapat menghindar insiden seperti diatas daripada terjadi. Masyarakat juga harus ambil tahu serta tidak rasa terhalang dari menghulurkan bantuan. Sama-samalah kita mainkan peranan untuk bantu membantu, peka diatas keperluan mereka di sekeliling kita serta sungguh- sungguh membina masyarakat yang prihatin.

Sekian
Hajah Fuziah Salleh. 😪😪😪




No comments: