UMNO PILIH BUNG MOKHTAR DAN BUKAN MUSA AMAN SEBAGAI KM SABAH ?


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin memberi bayangan terdapat banyak pemimpin daripada parti itu yang berpotensi, termasuk dirinya untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri sekiranya mendapat sokongan majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang ini.
“UMNO Sabah ada banyak calon Ketua Menteri. Saya boleh. Timbalan saya pun boleh (Jefri Arifin, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan), Rahman Dahlan boleh dan Hasnol Ayub, Ketua Umno Bahagian Penampang juga boleh.
“Banyak yang boleh. Kalau boleh jadikan Ketua Menteri 10 orang, semuanya boleh,” katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung calon Ketua Menteri UMNO pada PRN Sabah kali ini.
Sebelum ini, Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mengesahkan beliau akan ‘turut serta’ dalam PRN Sabah kali ini dengan bertanding di kerusi baru, DUN Lamaq.
Untuk rekod, ketika UMNO Sabah lumpuh sebelum ini di mana pemimpinnya beramai-ramai menyertai Bersatu, selain Bung Moktar satu-satunya Ahli Parlimen yang tidak berpaling tadah, seorang lagi pemimpin yang bertahan dalam parti itu ialah Musa Aman sendiri sebagai Adun Sungai Sibuga.
Kemudian dalam PRK Kimanis Januari lalu berikutan kedudukan Anifah Aman yang sebelum itu memilih menjadi Ahli Parlimen Bebas dibatalkan, jumlah Ahli Parlimen UMNO bertambah menjadi dua dengan kemenangan Mohamad Alamin mengalahkan Karim Bujang daripada Warisan.
Dengan kedudukan sebagai Pengerusi UMNO Sabah, jika parti itu berjaya memperolehi kerusi majoriti berbanding Bersatu, tentu saja tidak mustahil Bung Mokhtar akan diangkat sebagai Ketua Menteri yang baru.
Musa Aman pula, berikutan kedudukannya sekarang, bukan saja semakin tipis untuk dipilih semula sebagai calon Ketua Menteri, malah mungkin tidak diletakkan lagi sebagai calon pilihanraya. (Shahbudindotcom 03/08/2020)

No comments: