Usaha Parlimen Digital perlu diraikan, bukan dikekang pihak berkuasa


Oleh Lim Yi Wei
(Ketua DAPSY Damansara dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku)
Sebagai seorang wakil rakyat wanita muda, saya sentiasa menyokong usaha memperkasa anak muda, termasuk Parlimen Digital.
Hari pertama sidang Parlimen Digital telah membuktikan bahawa persidangan parlimen dalam talian tidak mustahil sama sekali. Komposisi Parlimen Digital dilihat inklusif dan merentasi semua lapisan masyarakat melalui usaha pihak penganjur yang menawarkan subsidi internet kepada peserta yang memerlukan.
Saya telah bertemu dengan Ahli-ahli Parlimen Digital yang mewakili Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sabah. Bagi kebanyakan peserta, Parlimen Digital merupakan pengalaman pertama mereka mendampingi isu berkaitan demokrasi dan urus tadbir negara.
Mereka mengambil inisiatif untuk bertemu dengan wakil rakyat dan pemimpin baik pihak kerajaan atau pembangkang. Mereka bijak dan mempunyai idea segar, bukan hanya berlandaskan idealisme tetapi dengan kajian sendiri dan statistik pelbagai sumber rujukan.
Kami kira adalah tidak wajar Ahli-ahli Parlimen Digital dipanggil oleh pihak berkuasa dan diminta menjelaskan penyertaan mereka.
Anak muda perlu diberi ruang bersuara dan menyumbang idea untuk membina negara. Kami berharap agar Ahli-ahli Parlimen Digital bebas berbahas tanpa sebarang tekanan dari pihak berkuasa. Kami juga mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar menyokong usaha Parlimen Digital dan membawa idea dan hujah mereka ke peringkat tertinggi kerajaan. 



No comments: