KINI TERSERAH KEPADA MAHATHIR MAHU MENJATUHKAN MUHYIDDIN ATAU TIDAK



Berkaitan usaha mengembalikan semula mandat rakyat, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini secara umumnya membuat keputusan seperti berikut:-
1. Komited dengan pendirian asal yang menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
2. Semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.
3. Memberi mandat kepada Anwar meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, paling dekat usaha untuk mengembalikan mandat rakyat ini boleh menjadi kenyataan ialah melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen yang akan bersidang bermula 13 Julai hingga 27 Ogos akan datang.
Usul tersebut dikemukakan oleh Tun Mahathir Mohamad selaku Ahli Parlimen Langkawi dan telah pun diterima oleh Speaker untuk dibahaskan.
Tetapi, Muhyiddin Yassin telah pun mengemukakan suatu usul untuk menukar Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md. Yusof untuk digantikan dengan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Azhar Azizan Harun.
Ini bermakna, jika undian menukar Speaker memihak kepada Muhyiddin, hampir pasti usul Tun Mahathir itu tidak akan dibenar untuk dibentangkan.
Hanya jika Mohamad Ariff dapat dikekalkan lagi sebagai Speaker, barulah kemungkinan lebih terbuka untuk usul undi tidak percaya oleh Tun Mahathir terhadap Muhyiddin itu dapat dibawa, dibahas dan diundi.
Mahu tidak mahu, blok pembangkang mesti bersatu hati memastikan usul menukar Speaker itu nanti tidak memihak kepada Muhyiddin.
Dalam pemafahaman yang lebih mudah, kalau usul menukar Speaker oleh Muhyiddin menemui kegagalan, sudah pasti usul undi tidak percaya terhadapnya yang akan dibawa oleh Tun Mahathir selepas itu akan menemui kejayaan.
Kesimpulannya, untuk memastikan kejayaan dalam genggaman dan Muhyiddin dapat dijatuhkan, semua pihak dalam blok pembangkang mestilah bersatu hati mengekalkan Mohamad Ariff sebagai Speaker terlebih dahulu.
Jika ia berjaya, menjatuhkan Muhyiddin hanya “kacang” selepas itu.
Bagaimanapun, satu perkara yang masih mengekang blok pembangkang daripada bersatu hati ialah berkaitan pemilihan calon Perdana Menteri.
Dalam hal ini, walaupun usaha Tun Mahathir Mohamad untuk kembali sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga tidak diterima, malah calon pilihannya, Shafie Apdal juga tidak dipersetujui, pilihan yang tinggal hanyalah menyokong satu-satunya calon Perdana Menteri yang dipersetujui oleh PH iaitu Anwar.
Hanya dengan semua pihak, termasuk Tun Mahathir, Shafie dan pihak pembangkang lain menyetujui dan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri saja, barulah usaha menumbangkan Muhyiddin boleh menjadi kenyataan.
Kalau Tun Mahathir misalnya, enggan akur dengan konsensus PH manakala Shafie daripada Warisan yang tidak ternampak relevannya untuk menjadi Perdana Menteri juga tidak mahu beralah, maka bukan saja usaha menjatuhkan Muhyiddin akan menemui kegagalan, bahkan mengekalkan Mohamad Ariff pun tidak kesampaian.
Kali ini, biar pun usul undi tidak percaya dibawa oleh Tun Mahathir, perjuangannya mesti terhad untuk menjatuhkan Muhyiddin dan mengembalikan mandat rakyat kepada PH semata-mata, bukan sebagai cubaan untuk kembali sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
Dalam kedudukan sekarang, Tun Mahathir mesti sedar realiti dirinya dan lebih baik beliau bertindak menyokong calon pilihan PH sebagaimana dirinya disokong dengan kuat oleh PH sebelum ini.
Adalah diharapkan, dalam rundingan nanti, seperti mandat telah diberi kepada Anwar untuk melakukannya, baik dengan Tun Mahathir atau Shafie, kedua-duanya harus berlapang dada dan menerima dengan terbuka konsensus PH itu.
Jika tidak, bukan saja Muhyiddin akan terus kekal sebagai Perdana Menteri lagi, untuk setidak-tidaknya sehingga PRU15, bahkan berkeras hati hanya akan memalukan Tun Mahathir sendiri di mana usul undi tidak percaya yang dibawanya pasti akan kecundang begitu saja akhirnya.
Tidak seperti Tun Mahathir yang mahu menjatuhkan Muhyiddin agar perjuangannya sentiasa nampak gemilang, Anwar sebaliknya jika tidak berjaya mengembalikan mandat PH dalam waktu terdekat ini, beliau masih ada masa meneruskan perjuangan dalam PRU15 akan datang.
Pilihan kini di tangan Tun Mahathir!! 
(Shahbudindotcom 06/07/2020)