‘U-turn’ lagi: Selepas dikritik penyokong, Eric Pulsen dipecat

‘U-turn’ lagi: Selepas dikritik penyokong, Eric Pulsen dipecat




Selepas dihujani kritikan penyokong, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi membuat keputusan pusingan U (u-turn).
Kali ini, kerajaan PN menarik semula pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hanya selepas dua hari dilantik.
Dalam siaran media KKMM hari ini, keputusan tersebut bagaimanapun dikatakan tidak akan menjejaskan fungsi MPKM yang ditubuhkan pada 9 Jun lalu.
“Ia (MPKM) akan terus berperanan membincang dan menasihati Kementerian dalam pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia selaras dengan matlamat KKMM,” katanya.
Keputusan ‘u-turn’ itu susulan bantahan daripada pemimpin Umno, Pas dan Bersatu yang merupakan parti komponen PN.
Eric, 47, ialah lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of London dan pemegang Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Hak Asasi Antarabangsa dari Universiti College London, United Kingdom.
Dia sebelum ini dikenali sebagai seorang peguam yang terkenal dengan pelbagai kenyataan ekstrem dan berbaur penghinaan terhadap Islam dan umat Islam melalui saluran media sosialnya.
Eric antara lain menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh hukum syariah dan menyalahkan madrasah sebagai lokasi pengembangan ekstremis Islam.
Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang ketika itu Menteri Luar melantik Eric sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).
Pelantikan Eric bagi penggal 2019-2021 itu juga mendapat bantahan Umno dan Pas.


No comments: