LAGI CERITA TENTANG GALAH SEJENGKAL



Kali ini saya nak bercerita lagi tentang kisah galah sejengkal yang dibangkitkan oleh Dr. Maszlee Malik pada minggu lepas.
Ini kerana kisah tersebut masih diperkatakan di mana-mana, walaupun Dr. Maszlee terlihat seperti sudah tidak mampu lagi berhujah berkenaan dengannya, di sebalik ramai yang tidak setuju terhadap pandangan beliau itu.
Memang tidak dinafikan kalau kita ada galah yang tidak cukup panjang untuk memetik buah-buahan di pokok yang tinggi, adanya galah sejengkal sebagai tambahan tentu saja merupakan bantuan yang cukup bermakna.
Tetapi, adanya galah sejengkal itu tidak seharusnya menafikan sama sekali kedudukan atau keberadaan galah sedia ada yang lebih panjang daripada galah sejengkal itu.
Tidak harus hanya kerana adanya galah sejengkal itu, maka sumbangan atau bantuannya lebih diperbesar-besarkan melebihi galah lebih panjang yang sedia ada.
Hakikatnya, meski pun galah sejengkal itu penting untuk membantu galah yang tidak cukup panjang memetik buah-buah yang ranum, namun tanpa adanya galah yang tidak cukup panjang tadi, galah sejengkal langsung tidak bermakna apa-apa.
Hanya kerana adanya galah yang yang tidak cukup panjang, tetapi lebih panjang daripada sejengkal itulah yang menjadikan galah sejengkal ada sedikit nama untuk dihargai.
Cuba galah sejengkal hanya berkawan dengan sesama galah sejengkal yang lain, adakah sesiapa mahu memandang dan menghargainya?
Sebab itu, galah sejengkal tidaklah boleh berlebih-lebih dalam membangga diri tentang kedudukan dan peranannya.
Peranan galah sejengkal hanya menjadi penting apabila ada galah lain yang lebih panjang, tetapi tidak cukup panjang untuk memetik buah di pokok yang tinggi.
Kalau galah sudah cukup panjang untuk memetik buah-buah di pokok, galah sejengkal langsung tidak dipandang orang.
Itulah realitinya.
Selain itu, kalau kita ada galah yang panjang namun tidak cukup panjang untuk memetik buah-buah di pokok yang tinggi dan hanya dengan bantuan galah sejengkal barulah buah-buah itu dapat dipetik, siapakah yang berhak menikmati pembahagian buah-buahan yang lebih banyak?
Adakah galah panjang yang tidak cukup panjang itu atau galah sejengkal tadi?
Jika Dr. Maszlee ada sepokok rambutan yang banyak berbuah dan galah yang dimilikinya tidak cukup panjang untuk memetik buah-buah yang sedang ranum, lalu hanya dengan bantuan galah sejengkal daripada jirannya barulah dapat dipetik semua buah-buah yang ada, apakah beliau sedia memberi bahagian yang lebih banyak kepada jirannya berbanding dirinya sendiri?
Sediakah Dr. Maszlee menjawab persoalan ini secara jujur dan ikhlas? 

(Shahbudindotcom 16/06/2020)



No comments: