Zahid Mat Arip calon TYT Melaka – Malaysia Dateline
Muhammad Zahid Md Arip
KUALA LUMPUR – Muhammad Zahid Md Arip terkilan dengan tindakan mengejut Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sanggup merayu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan (PH)
Beliau sama sekali tidak menyangka Dr Mahathir sedang melobi bersama PH dan berusaha merampas kembali kerajaan pimpinan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya sangat terkejutlah bila Tun sanggup pergi ke ibu pejabat PKR (Parti Keadilan Rakyat), sanggup menemui Anwar, sanggup merayu semula jawatan perdana menteri dalam keadaan entah ada, entah tidak angka (sokongan). Ini sangat memeranjatkan saya,” kata bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir.

Beliau ditemui selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Parlimen hari ini.
Zahid mengakui beliau sebenarnya berat hati untuk mengkritik Dr Mahathir kerana sangat rapat dengan bekas pemimpin negara itu.
“Bukan senang nak komen pasal Tun, dia adalah sahabat keluarga dan kawan rapat datuk saya. Saya pernah berkhidmat dengan beliau sebagai setiausaha politik,” katanya yang menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Dr Mahathir.
Zahid mengajak rakan-rakan seperjuangan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya bersatu padu menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti.
“Mudah-mudahan dengan bersatu kita menjadi kuat,” ujarnya.MG