Hentikan cerita sokongan majoriti dan adakan PRU, gesa Nazri


Nazri Aziz kini menyokong Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA: Bekas menteri Mohd Nazri Aziz menggesa Perikatan Nasional mengadakan pilihan raya umum kilat apabila krisis koronavirus terkawal.
Nazri berkata rakyat resah memikirkan permainan antara PN dan Pakatan Harapan yang masing-masing mendakwa ada sokongan majoriti ahli Parlimen.
Permainan “ping pong” itu harus dihentikan, katanya.
“Hari ini PN kata ada sokongan dan esoknya PH kata ada sokongan dan kemudian PN membalas. Hentikan ketidakpastian ini dan ayuh kita berpilihan raya,” katanya kepada FMT.
Nazri juga menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.
Pada 2018, selepas pilihan raya umum yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan, beliau secara terbuka menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata PH mungkin tiada sokongan secukupnya kerana gabungan itu akan mengadakan sidang media menunjukkan akuan berkanun wakil-wakil rakyat yang menyokong mereka jika ada.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata perlu ada pilihan raya umum di peringkat Parlimen dan negeri, kerana ada ketidakpastian di peringkat negeri terutama di Sabah selepas bekas ketua menteri Musa Aman bebas daripada semua tuduhan rasuah baru-baru ini.
“Beliau barangkali lebih kuat kini. Pertama sekali, beliau ketua menteri yang sah,” tambahnya.
Beliau berkata ketua menteri semasa adalah Presiden Warisan, Shafie Apdal yang berpakatan dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Nazri mengharapkan suatu persetujuan antara PPBM, Umno, dan PAS mengenai agihan kerusi pilihan raya, kerana semua parti itu berteraskan Melayu dan mungkin mensasarkan kerusi yang sama.
“Pastikan PN ada majoriti yang kuat dan selepas itu kita betul-betul hentikan permainan ini.”
Ketiga-tiga parti Melayu itu mesti menjuarai kepentingan orang Melayu kerana “ternyata jika kepentingan Melayu-Islam tidak dijaga, seperti bawah PH, lihat apa yang terjadi,” katanya, merujuk kepada tumbangnya PH kurang 2 tahun selepas membentuk kerajaan.
Ditanya mengenai siapa yang harus ketua kerajaan, beliau berkata Muhyiddin pilihan paling popular dan beliau tunjukkan kemampuannya dalam 100 hari pertama sebagai perdana menteri. “Sudah tentu Muhyiddin.”

No comments: