Rakyat dijangka terus dapat manfaat hasil pentadbiran bersih PH




Oleh Mohammed Sofian; Foto: MOF
Ke arah mencapai status negara maju, aspek pembangunan negara tidak boleh hanya diukur dari segi pertumbuhan ekonomi atau kepesatan infrastruktur semata-mata sebaliknya, ia perlu dilihat dari sudut yang menyeluruh.

Sudut menyeluruh ini perlu merangkumi penumpuan terhadap kualiti hidup, kuasa membeli selain pengagihan pendapatan yang lebih baik, dilihat sebagai ukuran lebih bermakna bagi menilai pembangunan negara. Perkara ini pernah ditegaskan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau turut menegaskan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus berusaha dalam memastikan kemakmuran dan kekayaan negara dapat diagihkan secara lebih saksama melalui pelaksanaan dan pendekatan pembangunan yang lebih inklusif.

Atas sebab itu, pelbagai inisiatif berteraskan rakyat telah diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban pelbagai lapisan masyarakat merangkumi e-Tunai Rakyat, Bantuan Sara Hidup (BSH), Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mySalam), Bantuan Awal Persekolahan dan i-Suri.

Skim mySalam sebagai contoh, merupakan langkah proaktif Kerajaan Persekutuan dalam membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan PH merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan

Kira-kira 3.69 juta rakyat Malaysia terdiri daripada isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang juga penerima BSH akan memperoleh manfaat daripada mySalam.

Dari segi penerimaan rakyat, mySalam dilaporkan memperoleh sambutan menggalakkan oleh masyarakat,  yang mana mereka menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban golongan isi rumah B40 dalam mendapatkan rawatan kesihatan. 

Secara keseluruhannya, inisiatif mySalam ini membuktikan bahawa, walaupun telah mewarisi beban kewangan yang cukup besar, ia tidak menghalang pihak kerajaan untuk terus memperkenalkan program-program mesra rakyat.

Meskipun pelaksanaan program-program ini kelihatan berfasa-fasa, kerajaan kekal komited untuk memastikan usaha terbabit mencapai golongan sasaran dan mereka yang memerlukan akan menerimanya.

Kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjana dana bagi meringankan beban rakyat dan ke arah mencapai matlamat itu, kerajaan turut mengambil langkah-langkah inovatif dan alternatif.

Selain itu, Inisiatif e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai, dilaporkan turut mendapat sambutan menggalakkan oleh pengguna.

Lebih banyak inisiatif

Sepertimana dilaporkan, ekonomi negara dijangka berkembang lebih pesat pada 2020 berdasarkan kepada Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Disember 2019 yang meningkat ke paras tertingginya dalam tempoh 15 bulan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan memperbanyakkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan belia, graduan baharu dan wanita melalui program #MalaysiaKerja bernilai RM6.5 bilion dan pelaksanaan projek infrastruktur bernilai RM120 bilion.

Sehubungan itu, dijangkakan lebih banyak inisiatif baharu yang dapat melonjakkan kehidupan serta meringankan beban rakyat akan diperkenalkan oleh kerajaan pada masa depan.

Saya optimis bahawa peruntukan inisiatif untuk rakyat akan dapat terus dipertingkatkan sekali gus memanfaatkan golongan memerlukan terutama B40 dan M40.

Ini lebih-lebih lagi dengan pendekatan penjimatan kerajaan ke atas projek-projek mega seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu RM21.5 bilion, lebuhraya Pan Borneo Sarawak (RM3.1 bilion) dan sebagainya, dilihat dapat membuka kepada projek-projek pembangunan lain khas untuk rakyat.




No comments: