Skim Mikro Kredit dengan bayaran balik RM20 seminggu



Helmi Mohd FoadFebruary 17, 2020 1:19 pm

PUTRAJAYA – Berita baik untuk golongan penjaja kecil apabila mereka kini boleh mendapatkan pinjaman mudah melalui Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) dengan nilai maksimum RM5,000 yang boleh dipohon mulai esok (18 Februari).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, skim mikro kredit dengan bayaran balik serendah RM20.19 seminggu itu adalah untuk membantu usahawan kecil sedia ada dari kumpulan B40 untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau menjelaskan, bagi peringkat permulaan dana pinjaman sejumlah RM500,000 bakal diuruskan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Bank Islam untuk disalurkan kepada kumpulan sasar iaitu pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

“Skim ini lebih mikro berbanding program pinjaman lain seperti Tekun Nasional dan beberapa program sedia ada kerana menyasarkan penjaja kecil.

“Jumlah pinjaman ditawarkan sebanyak RM5,000 dengan tempoh bayaran antara satu hingga tiga tahun dengan hanya dikenakan caj pentadbiran dua peratus secara one off. Jadi ini boleh dikatakan pinjaman bebas faedah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan wakil Bank Islam.

KHALID (kiri) bersama Wan Ahmad Uzir (dua dari kiri) dan Zaizalnizam (tiga dari kiri) pada sidang akhbar mengenai Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Khalid berkata, skim yang bakal memberikan manfaat kepada 100 penjaja itu turut melibatkan potongan tiga peratus yang akan direkodkan sebagai simpanan mereka.

“Peminjam boleh membuat pilihan sama ada mahu mengeluarkan simpanan terkumpul selepas tamat tempoh bayaran atau menggunakan simpanan itu untuk pembayaran baki pinjaman,” katanya.

Beliau menjelaskan, pinjaman yang akan mula disalurkan pada 1 Mac ini meletakkan syarat setiap pemohon mestilah warganegara Malaysia yang lahir dan menetap di Wilayah Persekutuan.

Katanya, pemohon juga mestilah berumur 18 hingga 70 tahun, memiliki sijil pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), memiliki lesen perniagaan tetap atau sementara dengan DBKL, PPj dan PL selain mempunyai premis atau ruang niaga yang ada permit daripada pihak berkuasa tempatan.

“Saya berharap pelaksanaan skim mikro kredit ini dapat membantu warga Wilayah Persekutuan meningkatkan taraf ekonomi dan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan golongan miskin bandar dalam perniagaan sekali gus dapat membantu kerajaa mengatasi masalah kemiskinan bandar,” katanya.

Borang permohonan skim mikro kredit itu boleh diperoleh di pejabat YWP di Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03 2698 3073/2073. – WILAYAHKU