MGF16022020_MAJLIS-TAHUN-BARU-CINA-2020-PARLIMEN-AMPANG_08
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Presiden Gerakan, Dominic Lau pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Ampang di SJKC Kampung Baru Ampang, Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 16 FEBRUARI 2020
KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau enggan mengulas apabila ditanya mengenai khabar angin pembentukan pakatan baharu antara parti pimpinannya dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
China Press telah menghubungi Dominic selepas tersebar khabar angin bahawa pemimpin Gerakan itu telah berbincang di rumah Mohamed Azmin mengenai pembentukan satu pakatan politik baharu.
Dominic bagaimanapun tidak memberi jawapan yang jelas mengenai isu itu, tetapi sekadar berkata, demi kestabilan negara, Gerakan mengalu-alukan kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai fahaman sehaluan.
“Saya hadir sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Azmin kerana beliau telah menghadiri sambutan anjuran Gerakan. Tiada salahnya saya berbuat demikian,” katanya.
Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menafikan pembentukan pakatan baharu.
Katanya, Gerakan tidak bermesyuarat dengan Mohamed Azmin, tetapi sekadar menghadiri rumah terbuka beliau.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, Gerakan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, kecuali kumpulan pelampau. –MG