PH perlu bawa MP jumpa Agong buktikan majoriti
Kemelut politik Malaysia yang sepatutnya selesai hari ini setelah Tun Mahathir mendapat jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan nampaknya terpaksa diheret lebih jauh ke hadapan.
Semuanya agak mengelirukan. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dikatakan mempunyai majoriti selepas Yang DiPertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ibni Sultan Ahmad Shah menggunakan formula baharu dalam menentukan kerajaan. Agong memanggil ketua-ketua parti untuk ditanyakan siapakah perdana menteri (PM) pilihan mereka.
Dalam hal ini blok Muhyiddin mempunyai lebih banyak sokongan kerana terdapat banyak parti di dalamnya berbanding blok Tun Mahathir. Kaedah ini adalah mengandaikan kesemua ahli parlimen dalam parti berkenaan menyokong presiden mereka.
Formula ini belum pernah digunakan kerana dalam praktik sistem demokrasi Malaysia, lompat parti dibenarkan. Oleh itu tidak dapat diandaikan semua ahli parlimen dalam sesebuah parti menyokong presiden mereka untuk memilih PM, lebih-lebih lagi dalam kemelut politik yang amat berat sekarang.
Dengan kaedah tersebut Muhyiddin dikatakan mempunyai majoriti, sedangkan beliau tidak mempunyainya. Parti Bersatu telah pun terbelah dua. Tidak mungkin kesemua 36 ahli parlimen parti itu padu menyokong Muhyiddin.
Mengapa tidak Anwar?
Agong mungkin mahu Muhyiddin membentuk kerajaan minioriti, iaitu kerajaan yang tidak cukup majoriti 112 kerusi. Sekiranya itu hasrat Agong, calon yang perlu diuji untuk mencubanya adalah Presiden PKR Anwar Ibrahim yang telah pun mengumul sekitar 100 kerusi pada 26 Februari lalu. Dalam praktik demokrasi wesminister, berjaya atau tidaknya PM akan ditentukan di dalam Dewan Rakyat selepas mengangkat sumpah. Anwar boleh didundi tidak percaya. Sekiranya beliau menang maka beliau boleh meneruskan kerajaan.
Dengan membenarkan Muhyiddin menjadi PM ketika Pakatan Harapan (PH) mendakwa telah mendapat majoriti 114 kerusi maka kerajaan yang ditubuhkan sangat rapuh. Pembangkang mungkin tidak menunggu sidang Parlimen 9 Mac depan untuk melaksanakan usul tidak percaya, sebaliknya sehari selepas Muhyiddin mengangkat sumpah ahli-ahli parlimen blok Mahathir boleh ke Istana dan menunjukkan mereka mempunyai majoriti.
Bariskan ahli parlimen
Terdapat duluan (presedent) dalam kes seperti ini. Iaitu rampasan kuasa yang dilakukan BN ke atas kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak pada 5 Februari 2009. PM Najib ketika itu muncul di skrin televisyen dengan membariskan 31 ADUN. Sebanyak 27 ADUN BN dan 3 Adun dari DAP dan PKR yang mengisytihar diri sebagai wakil Bebas. Dalam sekelip mata seluruh negara maklum bahawa kerajaan PR Perak telah tumbang kerana tinggal 28 ADUN sahaja. Kesemua ADUN-ADUN BN dan Bebas kemudian dipanggil ke Istana untuk bertemu sultan Perak bagi memperakui sokongan kepada BN.
Oleh itu, cara sama boleh digunakan pada kali ini oleh PH. Tidak perlu menumbangkan kerajaan Muhyiddin tetapi sebelum beliau mengangkat sumpah Agong seharusnya diperlihatkan 114 ahli parlimen yang menyokong PH.
Sokongan dalam amalan politik Malaysia dibenarkan berubah-ubah. Oleh itu dalam bila-bila masa sekiranya ahli-ahli parlimen tanpa mengira parti telah bersetuju untuk bersekutu melantik seorang PM, seharusnya beliau dipilih sebagai ketua kerajaan semasa, sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.