Percaturan selesai, kerajaan PH kembali
Kerajaan Pakatan Harapan dijangka kembali memerintah apabila gabungan parti PKR, DAP dan Amanah bersetuju untuk mencalonkan Tun Mahathir sebagai perdana menteri.
Hal itu diumumkan oleh komunikasi PH sebentar tadi yang menyebut gabungan itu telah diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 dan akan meneruskan mandat dengan mencalonkan Tun Mahathir sebagai perdana menteri baharu.
“Pakatan Harapan bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama yang melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan, yang akan merosakkan segala usaha reformasi yang telah dilaksana hingga kini.
“Oleh itu, demi mempertahan perjuangan, Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh terhadap YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.
“Pakatan Harapan berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto Pakatan Harapan dalam kerajaan,” kenyataan itu menyebut.
Serentak dengan itu, satu lagi kenyataan di keluarkan oleh Tun Mahathir bahawa beliau mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi tadi.
“Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri.
“Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.
Formula tersebut pernah dicadangkan pada malam Selasa lalu dengan Tun Mahathir perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan atau menteri kanan. Namun Tun belum bersetuju kerana mahu mendengar dahulu daripada parti Bersatu dan kumpulan Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun apabila Bersatu melanggar arahan Tun mencadangkan beliau sebagai PM sebaliknya mengubah kepada Muhyiddin maka Tun menerima formula beberapa hari lalu untuk bergabung semula dalam PH.