MUNGKINKAH MUHYIDDIN HANYA JADI PM SELAMA SEMINGGU SAJA?



Yang Dipertuan Agong, dalam pengumuman petang ini akhirnya melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baru setelah yakin Ahli Parlimen Pagoh itu memiliki sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Majlis angkat sumpah akan diadakan esok, 1 Mac jam 10.30 pagi di Istana Negara.

Pengumuman Istana Negara mengenai perlantikan Muhyiddin itu agak mengejutkan banyak pihak kerana beliau dipercayai semakin kekurangan sokongan setelah ramai Ahli Parlimen Bersatu sendiri sudah mengalih sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad sejak malam tadi.

Sebelum Tun Mahathir dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri, memang Muhyiddin dilihat memiliki sokongan yang kuat kerana beliau disokong oleh UMNO, Pas, GPS dan juga Warisan, selain daripada Bersatu sendiri.

Tetapi, setelah Anwar sedia mengalah daripada persaingan merebut jawatan PM dan PH mencalonkan semula Tun Mahathir, sokongan terhadap Muhyiddin dengan sendirinya telah berkurangan.

Ia bukan saja disebabkan ramai Ahli Parlimen Bersatu berpatah balik menyokong Tun Mahathir, malah Warisan juga menyatakan kekal dengan pendirian menyokong Tun Mahathir.

GPS pula dijangka hanya akan mengadakan mesyuarat esok, 1 Mac bagi membincangkan pendirian sama ada mahu menyokong Tun Mahathir yang disokong PH atau Muhyiddin yang disokong UMNO dan Pas.

Dalam hal ini, Tun Mahathir sendiri pagi tadi melahirkan keyakinan beliau memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Lalu, bagaimana Muhyiddin boleh diumumkan sebagai Perdana Menteri?

Difahamkan keputusan Istana Negara ini adalah berdasarkan pendirian setiap ketua parti yang ditemui oleh Yang Dipertuan Agong dan bukan lagi berdasarkan sokongan setiap Ahli Parlimen.

Misalnya, jika dalam pengakuan Muhyiddin kepada Istana Negara bahawa 36 Ahli Parlimen Bersatu menyokongnya, maka angka itulah yang diterima oleh Yang Dipertuan Agong sebagai sesuatu yang sahih.

Begitu juga dengan lain-lain ketua parti yang ditemui baginda.

Diberitakan, mana-mana Ahli Parlimen yang mengalih sokongan secara perseorangan daripada sokongan yang telah diumumkan oleh ketua parti, ia tidak lagi diambil kira oleh pihak istana kerana proses menemubual setiap seorang Ahli Parlimen sudah pun dilakukan sebelum ini.

Dalam hal ini bermakna, tindakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berpatah balik menyokong Tun Mahathir seperti Syed Saddiq dan ramai yang lain setelah mengetahui Pengerusi Bersatu itu dicalonkan semula menjadi Perdana Menteri, tidak diterima sama sekali.

Di sinilah dikatakan yang menyebabkan Muhyiddin dipercayai oleh Yang Dipertuan Agong telah memiliki sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Maka, apa yang perlu dilakukan sekarang?

Adalah penting, selewat-lewatnya malam ini, PH bersama Tun Mahathir segera menghimpunkan seberapa ramai Ahli Parlimen yang tidak menyokong Muhyiddin untuk dikumpulkan dan ditunjukkan kepada umum.

Jika mereka dapat menunjukkan lebih 112 Ahli Parlimen hadir, bererti Tun Mahathir lebih memiliki majoriti berbanding Muhyiddin.

Dengan demikian, diharapkan Yang Dipertuan Agong sedia menimbang atau mengkaji semula perlantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya majlis angkat sumpah diteruskan juga esok, Tun Mahathir dan PH, dengan sokongan lebih 112 Ahli Parlimen yang dimilikinya itu, boleh pula bersiap sedia untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dalam sidang Parlimen yang akan bermula pada 9 Mac depan.

Jika ia berjaya dilakukan, Muhyiddin mungkin hanya akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh seminggu saja.

Tetapi, usaha oleh PH, Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Guan Eng mesti digerakkan dengan seberapa segera yang boleh. (ShahbudinHusin 29/02/2020)

No comments: