KENAPA ZAHID HAMIDI BERDIAM DIRI



Di sebalik dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa bahawa wujud kekeliruan berhubung isu perletakan jawatan Apandi Ali selaku Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, beliau nampaknya tetap tegas dengan keputusan tersebut.
Apandi berkata, beliau akan mengutus surat perletakan jawatannya sebaik pulang dari luar negara.
“Memang benar bahawa ibu pejabat UMNO belum menerima surat peletakan jawatan saya tetapi saya tidak akan mempertimbangkannya semula,” kata bekas Peguam Negara itu lagi.
Dengan ketegasan ini, bermakna Apandi kekal dengan pendirian bahawa wujud campurtangan dalam proses siasatan Lembaga Disiplin terhadap bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Dan sebagaimana yang disebut oleh Ahli MT UMNO, Lokman Adam dalam kenyataannya sebelum ini, orang yang campurtangan memberi arahan agar prosiding disiplin terhadap Hishammuddin ditangguhkan itu ialah Presiden UMNO sendiri, Ahmad Zahid Hamidi.
Berikutan tidak puas hati dengan campurtangan tersebut serta enggan dirinya dijadikan kuda tunggangan, Apandi mengambil keputusan meletakkan jawatannya.
Yang hairannya, sementara beberapa Pemuda UMNO negeri tampil membidas Lokman dan menggesanya dipecat daripada UMNO, Zahid Hamidi belum lagi tampil memberi sebarang reaksinya.
Kenapakah Zahid Hamidi masih lagi berdiam diri sehingga kini?
Kenapakah beliau tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mempertahankan diri berkenaan dakwaan Lokman terhadapnya?
Tidakkah dengan terus mendiamkan diri bermakna dakwaan Lokman akan dilihat ada kebenarannya?
Begitu pun, dengan perletakan jawatan Apandi, perkara lain yang menjadi tanda tanya ramai ialah apakah status prosiding terhadap Hishammuddin yang sebelum ini telah diarah agar ditangguhkan itu?
Apakah siasatan akan dibuka semula atau ditutup terus?
Yang lebih penting, dengan berdiam diri dalam isu sepenting ini, apakah tindakan Zahid Hamidi ini dapat membawa kebaikan kepada UMNO yang sedang diketuainya? (ShahbudinHusin 30/12/2019)