Malam tadi saya menikmati makan malam bersama beberapa kenalan yang antaranya adalah mereka yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim sejak zaman ABIM lagi.
Dalam berbual-bual mengenai pelbagai isu dalam negara, termasuk politik semasa, tiba-tiba terkeluar cerita berkenaan perlakuan seorang menteri yang dirasa cukup memalukan perbuataannya.
Menteri berkenaan dikatakan datang menemui Anwar dan meminta Presiden PKR itu agar tidak terlalu terburu-buru untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.
Kata menteri tersebut, Anwar tidak perlu terlalu berpegang kepada tempoh masa kira-kira dua tahun yang dijanjikan kepadanya untuk penyerahan jawatan itu.
Sebaliknya, menteri itu mencadangkan agar Anwar hanya mengambil alih jawatan yang sudah sedia dijanjikan kepadanya itu selepas tiga tahun Tun Mahathir memegangnya.
Ditanya tentang alasannya, menteri tersebut secara berterus-terang menyatakan jika peralihan kuasa itu berlaku selepas tiga tahun, maka dapatlah beliau menikmati pencen penuh sebagai menteri selepas itu.
Tidak dipastikan sama ada menteri itu menyatakan demikian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri atau beliau sudah dapat merasakan namanya memang tidak tersenarai sebagai anggota kabinet selepas ini.
Mendengar alasannya itu, Anwar dikatakan agak sedikit terganggu dengannya, lalu tanpa membuang masa bertindak “membasuhnya” tanpa belas kasihan pada ketika itu juga.
Anwar telah “membebel” kepada menteri tersebut dengan agak lama sehingga beliau dilaporkan terdiam, tertunduk malu dan tidak mampu mengangkat mukanya lagi.
Anwar lantas mengingatkannya tentang perjuangan PH bukan memikirkan untuk diri sendiri atau habuan berbentuk peribadi, tetapi membela rakyat sebagaimana yang mereka harapkan apabila berlakunya perubahan kerajaan.
Sebagai pemimpin yang berjuang untuk rakyat, apalagi menteri itu mempunyai kelulusan yang agak tinggi, bukan memiliki sijil palsu, tetapi perjuangannya yang nampaknya semata-mata hanya memikirkan pencen untuk dirinya sememangnya sesuatu yang benar-benar memalukan.
Ini bermakna, menteri tersebut langsung tiada keikhlasan dalam dirinya, baik kepada PH, parti yang diwakilinya, rakyat yang mengundinya serta Tun Mahathir yang melantiknya sebagai menteri.
Yang difikirnya hanya jawatan, kedudukan dan nikmat pelbagai habuan sebagai anggota jemaah menteri dan kemudian pencen penuh puluhan ribu sebagai bekalan sebelum mati.
Tidakkah ini sebenarnya amat-amat memalukan?
Dengan itu, bukan saja Anwar tidak harus melantiknya lagi sebagai menteri apabila beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri nanti, bahkan sebaik-baiknya Tun Mahathir juga harus menggugurkannya dalam rombakan kabinet yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Cisss….pemimpin sebegini tidak layak sama sekali berada di bumi Malaysia ini. (Shahbudindotcom 05/09/2019)