Umur persaraan tidak perlu dilanjutkan – Tun M
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya membuat penegasan terhadap cadangan bagi melanjutkan had umur bersara kepada 65 tahun yang dicadang Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC).
Malaysia (MTUC).
Bercakap kepada media, Dr Mahathir berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.
“Jangan kata Perdana Menteri berumur 94 tahun tidak bersara pun. Saya bukan tidak bersara, tetapi dipanggil semula untuk bekerja.
“Kalau kita tetapkan pegawai bersara umur 65 tahun, ‘deadwood’ nanti pun duduk atas kerusi itu dan orang lain tidak boleh duduk (naik pangkat).
“Bagi saya, eloklah sampai 60 tahun,” katanya.
Terdahulu, tinjuan dilaman sosial mendapati rata-rata warga maya tidak setuju dengan cadangan melanjutkan had umur persaraan mandatori itu.
Undian dibuat di laman Facebook Selangorkini semalam mendapati 93 peratus dari lebih 5,500 undi tidak menyokong cadangan tersebut.
Mereka berpandangan baki usia persaraan itu merupakan peluang kepada golongan itu meluangkan masa bersama keluarga serta menumpukan kepada amal ibadat mereka.
Sebahagian yang lain pula berkata, peluang kerja wajar diberikan kepada golongan pelapis.
Sebelum ini, MTUC melalui Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, meningkatkan had umur perlu dipertimbangkan kerana golongan pekerja di Malaysia tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang.
Bagaimanapun Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan berkata pelaksanaan cadangan itu hanya akan menyebabkan krisis pengangguran dalam negara semakin teruk.
Cadangan itu turut dikritik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang berkata kerajaan harus memberi fokus untuk menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada generasi muda, bukan menambah masalah kepada golongan itu. – RF8 Media