JAWAPAN KEPADA POLITIK KAUM DAN AGAMA YANG MELAMPAU

Politik perkauman dan agama yang selama ini menjadi mainan UMNO dan Pas barangkali tidak relevan lagi selepas ini.
Ini berikutan persempadanan baru SPR yang akan menambah kawasan pengundi campuran sedang dilaksanakan dan mungkin menjadi kenyataan dalam PRU15 akan datang.
Sekarang ini, daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, kawasan yang benar-benar boleh dikategorikan sebagai campuran hanya ada 83 saja.
Selebihnya sama ada kawasan Melayu di luar bandar atau kawasan Cina di bandar-bandar.
Melalui persempadanan baru yang dirancang, kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi campuran akan ditambah menjadi sekurang-kurangnya 140 kawasan.
Dengan majoriti kawasan Parlimen memiliki jumlah pengundi campuran, gaya dan kempen politik yang bercorak kaum serta agama yang melampau dengan sendirinya akan terhapus serta tidak lagi relevan.
Ia akan menjadikan semua parti yang bertanding akan lebih menekankan kepada memperjuangan keperluan rakyat seperti peluang pekerjaan, perumahan, program kesihatan, program untuk belia, memerangi rasuah, tadbir urus kerajaan yang lebih baik dan seumpamanya.
Politik kaum dan agama yang sempit yang boleh memecah-belahkan masyarakat akan terpinggir dan tidak lagi diperlukan, bahkan menjadi sesuatu yang asing.
Inilah kaedah terbaik untuk menampilkan gaya politik sihat yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa retorik kaum dan agama yang keterlaluan seperti yang berlaku selama ini.
Selama ini, oleh kerana kawasan Parlimen yang mewakili satu-satu kaum masih merupakan majoriti, maka politik kaum dan agama telah berlaku dengan bermaharajalela sehingga wujudnya perpecahan yang ketara dalam masyarakat.
Ia bukan saja memisahkan antara mereka yang berlainan bangsa dan agama, bahkan juga di kalangan mereka yang sebangsa dan seagama.
Pindaan baru dengan menambah kawasan pengundi campuran ini adalah jawapan terbaik untuk mengekang politik kaum dan agama yang sesungguhnya sama sekali tidak sihat untuk negara berbilang bangsa seperti Malaysia. (ShahbudinHusin 03/09/2019)