Piagam Umno – Pas hanya gimik politik
Piagam Muafakat Nasional yang bakal dimeterai di antara Pas dengan Umno kurang dua minggu lagi dilihat tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, persefahaman itu yang bakal ditandatangai pada 14 September ini hanya bersifat politik bagi mencari sokongan selain cubaan mengalih perhatian rakyat dari masalah-masalah yang sedang dihadapi kedua-dua parti itu.
“Saya ingat tiada siapa yang menolak perpaduan sebenarnya.
“Kita kena ingat pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), rakyat telah membuat keputusan menolak kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri.
“Sekarang ini, kita boleh baca di akhbar dan melihat di kaca televisyen mengenai kes mahkamah yang sedang berjalan ini (melibatkan bekas pemimpin-pemimpin kerajaan),” katanya seperti dilapor Sinar harian.
Difahamkan, piagam tersebut nanti akan ditandatangani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ia sekaligus mengesahkan dakwaan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini bahawa kedua-dua parti itu sememangnya ada perancangan untuk bekerjasama.
Sementara itu, Mukhriz turut membidas alasan Perpaduan Ummah diguna kedua-dua parti itu untuk menghalalkan tujuan mereka.
Tegasnya pemimpin parti itu seolah-olah lupa bahawa dalam kerajaan yang diterajui HARAPAN juga mempunyai ramai kaum Melayu dan beragama Islam.
“Tidak disebutkan langsung rasa bersalah dan menyesal di atas kesilapan Barisan Nasional (BN) sehingga rakyat menolak kerajaan lama. Tambah pula ada dalam kalangan mereka yang mendesak kerajaan hari ini membubarkan Dewan Rakyat.
“Jadi bagi saya (desak bubar Dewan Rakyat) adalah untuk menyelamatkan dan mengelakkan perbicaraan diteruskan maka terselamatlah Datuk Seri Najib Razak dan konco-konconya yang lain.
“Maka, jika rakyat ingat kembali kenapa menolak mereka dahulu, maka piagam ini tidak akan ke mana,” katanya dipetik. – RF8 Media