MARCH , 2019
GEORGETOWN: Polis Bukit Aman menyita kediaman keluarga ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, dipercayai sebagai sebahagian daripada siasatan penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kediaman yang beralamat di No 69, Tanjung Bungah Park di Tanjung Bungah, di sini, disita polis Bukit Aman bahagian Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), pada 17 Januari lalu.
Tinjauan BH mendapati, notis yang menamakan ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe, 66, sebagai pemilik banglo tiga tingkat itu, ditampal di bahagian dinding berdekatan pagar di luar kediaman berkenaan.
Notis sitaan rumah berkenaan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara, dan dibuat mengikut sub Seksyen 4 (1) AMLA 2001.
Banglo bernilai RM15 juta itu sebelum ini dihuni keluarga Jho Low, yang kini dipercayai berada di luar negara.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, ketika dihubungi, berkata beliau tidak mengetahui dan enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.