xMGF25032019_MAJLIS-PERHIMPUNAN-PERDANA-CUEPACS04-681x455
Sebahagian pekerja penjawat awam berikrar "Perkhidamatan Awam" pada Majlis Perhimpunan Perdana CUEPACS bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2019
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia kecewa apabila sekali lagi penjawat awam dijadikan sasaran untuk terus berkorban dan ‘ikat perut’ dengan alasan masalah kewangan negara sebagai punca kerajaan membayar hutang yang tinggi.
Sedangkan ramai sahabat dan ahli keluarga pemimpin politik pula diberi “peluang pekerjaan” yang baharu, walhal ada yang sudah bergelar Yang berhormat, tetapi masih mahu mengemudi Agensi Kerajaan sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah.
Pelbagai lantikan politik yang dibuat di kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan berajaan, seolah-olah penjawat awam yang sekian lama berkhidmat untuk negara tidak dipedulikan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan bertanya adakah “peluang pekerjaan” yang disebut di dalam Manifesto Harapan itu hanya ditujukan kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga mereka di dalam parti-parti kerajaan sahaja.
“Di saat gesaan mengikat perut, kita lihat gaji ahli Parlimen dan menteri begitu banyak puluhan ribu jika dibandingkan dengan penjawat awam majoriti yang lain. Di manakah keadilan rakyat dan penjawat awam?,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, katanya, di saat hutang negara dikatakan banyak sebagai alasan ‘mengikat perut’ penjawat awam, kerajaan Pakatan Harapan pula tidak sensitif mengumumkan projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat Malaysia, contohnya projek kereta terbang.
Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan ini
kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.
“Kurangkan lantikan politik, biar penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas mereka. Harus diingat, penjawat awam merupakan tunjang kepada pentadbiran negara. Ahli politik datang dan pergi, tetapi mereka tetap komited menguruskan pentadbiran kerajaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette