Saya membayangkan salah satu cabaran terbesar selepas dilantik menyertai kementerian ialah untuk memastikan penjawat awam dapat mencapai hasil yang diinginkan.
Dalam tempoh dua minggu pertama, saya menerima banyak surat layang, menuduh si polan atau si polan sebagai ‘macai BN’. Malah ada gambar pegawai-pegawai senior mengibar-ngibar bendera Barisan Nasional sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-14.
Saya kemudiannya bertemu dengan Ketua Setiausaha Kementerian dan memberitahunya tentang tuduhan-tuduhan terhadap pegawai-pegawai berkenaan. Beliau mungkin menjangkakan konfrontasi dari saya, namun beliau mungkin sedikit terperanjat apabila saya katakan, ‘kosong-kosong’ – permulaan baharu untuk semua.
Terdapat beberapa segmen penjawat awam yang dipolitikkan secara bersangatan. Tetapi tidak adil untuk kita salahkan mereka. Situasi di mana mereka beroperasi menuntut ketaatan kepada tuan-tuan politik mereka dan juga parti pemerintah.
Malah, anggota parti pemerintah dahulu mengisi jawatan-jawatan tersebut, dan ketaatan kepada parti menjadi pertimbangan utama dalam memberi kenaikan gaji mahupun pangkat.
Parti pemerintah dahulu suka menuduh DAP tidak menghormati penjawat awam. Namun hakikatnya, rekod pentadbiran di Pulau Pinang membuktikan sebaliknya. Malah sejak 2008, dengan kumpulan penjawat awam yang sama, Kerajaan Negeri Pakatan di Pulau Pinang berjaya mencapai prestasi yang lebih cekap.
Apa rahsianya? Penjawat awam dinyahpolitik dan profesionalisme dipulihkan.
Kenaikan pangkat dan anugerah diberikan berdasar kepada prestasi dan merit, bukan ketaatan politik. Perkhidmatan awam di Pulau Pinang menemukan semula keyakinan diri dan juga rasa hormat masyarakat ekoran prestasi dan hasil kerja mereka. Hatta, salah seorang penjawat awam Pulau Pinang, Dato Maimunah Sharif telah diiktiraf kecemerlangannya dan dipinjamkan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai pengarah eksekutif UN-Habitat.
Dalam mesyuarat pengurusan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan yang pertama, saya begitu kagum dengan kebolehan yang diperlihatkan oleh pegawai-pegawai senior kementerian. Mereka jelas sekali berpengalaman tinggi, tahu betul urusan mereka, mempunyai ide-ide bernas, petah berkata-kata, dalam pelbagai bahasa. Ini satu sisi perkhidmatan awam yang jarang-jarang diperlihatkan kepada umum.
Pun begitu, kebolehan sahaja tidak cukup. Kita harus memastikan wujudnya budaya kerja yang baik dan profesional dalam kerangka perkhidmatan itu sendiri.
Ini sebabnya pentadbiran Pakatan Harapan telah menukar slogan di penghujung surat daripada ‘Saya yang menurut perintah’ kepada ‘Saya yang menjalankan amanah’. Perkhidmatan awam seharusnya berasa bangga menunjukkan mutu kerja yang baik, bukan sekadar mengikut arahan, apatah lagi arahan politik.
Ketika Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mahu meluncur semula inisiatif FitMalaysia, kami perlu memutuskan sama ada mahu kekal dengan cara lama, di mana kerjanya dikontrakkan kepada orang luar, atau memberi peluang untuk para penjawat awam menguruskannya. Menteri dan saya memutuskan untuk meletakkan kepercayaan kepada warga kementerian sendiri dan menyerahkan tugas merencana, mengatur dan melaksanakan FitMalaysia kepada mereka.
Memanglah ada yang ragu-ragu, masuk separuh masa pertama tempoh merancang, ada yang bertanya kalau kami patut melantik sahaja pengurus acara untuk melakukannya, ketimbang bergantung kepada penjawat awam.
Namun Menteri dan saya berani mengambil risiko.
Kami masuk ke pejabat ini dengan minda reformasi. Dahulu, kerajaan cenderung membentuk ‘perkhidmatan awam dalam perkhidmatan awam’, yakni mewujudkan unit pelaksanaan elit bagi memintas apa yang mereka sifatkan sebagai pengkhidmat awam yang tidak cekap. Selapis demi selapis dan beberapa era pentadbiran kemudian, perkhidmatan awam membelon, dan lebih teruk lagi ia menghasilkan perkhidmatan yang tidak berkeyakinan dan tidak terdorong, akibat kurangnya kepercayaan daripada kerajaan sendiri. Ditambah dengan persekitaran kerja yang penuh politik, kita akhirnya berdepan dengan penjawat awam yang mandom.
Saya harus mengaku, memang lebih mudah untuk kami mengambil jalan pintas. Lagipun para pengundi mahu melihat hasil secepat mungkin. Birokrasi ini bukanlah cara terbaik untuk menjana hasil pada kelajuan “IR 4.0”. Saya beri satu contoh.
Salah satu daripada polisi awal yang kami cadangkan pada permulaan pentadbiran adalah untuk memperluas perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk kesemua atlet negara, tidak kira yang masih beraksi ataupun yang sudah bersara. Saya agak kerja ini pastinya mudah, namun ia sebenarnya mengambil masa lebih enam bulan untuk melalui beberapa jabatan dan kertas kerja, hanya untuk diluluskan.
Sepanjang berbulan lamanya berada di sini dan bekerja dengan rakan-rakan di segenap tahap di Kementerian ini, saya menyedari bahawa sebenarnya ada ramai penjawat awam yang benar-benar mahu melakukan yang terbaik dan bergerak seiring agenda pembaharuan kerajaan. Mereka mahu merasa bangga dengan apa yang mereka kerjakan. Mereka mahu mengembalikan maruah penjawat awam. Mereka tidak mahu sekadar bekerja ke hulu ke hilir membawa kertas, sedangkan kerja sebenar dilaksakan kontraktor luar, atau unit elit dalaman. Mereka mahu memperlihatkan prestasi sebenar dan dihormati untuk prestasi itu.
Kami bersedia untuk memberi peluang sedemikian. Soalnya adakah mereka bersedia?
Apabila FitMalaysia diluncur semula pada 24 Mac 2019, sambil Menteri dan saya berdiri di atas pentas pagi itu menyaksikan lautan manusia di hadapan, kami sempat bersembang tentang keputusan yang dibuat beberapa bulan lalu untuk memberi kepercayaan kepada penjawat awam.
Lebih daripada 15,000 orang membanjiri tempat acara. Program berjalan lancar. Mesej untuk memupuk gaya hidup sihat disampaikan dengan cemerlang.
Dahulu, Kementerian menyerahkan kontrak pelaksanaan acara sebegini kepada orang luar. Angka yang dilaporkan kepada saya menunjukkan bahawa kos yang ditanggung kerajaan untuk acara seperti ini boleh mencecah sehingga RM1.3 juta. Namun pegawai kementerian berjaya melaksanakannya sendiri pada kos sekadar satu perlima daripada itu.
Kepercayaan terhadap penjawat awam sudah pulih kembali. – Roketkini.com
*Steven Sim adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang.