"Harga politik kadang-kadang terlalu tinggi. Ada kalanya ia harus dibayar dengan nyawa. Oleh kerana itulah aku selalu menaruh bimbang akan keselamatan Anwar Ibrahim. Kedudukan dan pengaruh beliau jauh lebih besar. Beliau dianggap oleh sesetengah pihak sebagai mencabar dan mengancam kuasa mereka. Aku melihat segala fitnah ke atas dirinya yang bertalu-talu sebagai percubaan untuk menamatkan hayat politiknya."
"Apakah akan berlaku sekiranya semua percubaan ini gagal? Adakah akan timbul pula percubaan ke atas nyawanya sendiri? Aku sentiasa berdoa semoga Allah melindungi hambanya yang benar. Benarkanlah yang benar dan dustakanlah yang dusta."
Demikianlah catatan dalam Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, dalam bab penutupnya dengan tajuk "Menghadapi Cabaran Dan Ancaman", setelah mendedahkan percubaan pembunuhan terhadap dirinya yang berlaku ketika beliau menyandang jawatan Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 1960-an.
Syed Husin Ali mengisahkan pengalamannya bagaimana motorsikal yang diboncengnya disondol sebuah kereta dari belakang, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mertuanya di Kelantan. "Motor tidak tumbang. Entah macam mana aku sempat memegang dengan kuat 'bumper' kereta itu. Nik Aziz pula sempat menahan motornya daripada tumbang dengan kakinya. Akan tetapi motorsikal itu senget dan pedalnya terkena pada jalan. Kami ditolak oleh kereta itu lebih 50 ela."
Syed Husin (gambar kanan) mengalami kecederaan yang agak teruk dalam kejadian tersebut, begitu juga kawannya Nik Aziz, Pengerusi PRM Kelantan ketika itu. Ia berlaku pada tengah malam selepas Syed Husin Ali mengadakan perbincangan dengan pemimpin PRM di ibu pejabat Kelantan. Mereka sebenarnya diekori kereta. Namun, pemandu kereta sempat melarikan diri, dan Syed Husin diberitahu kemudian bahawa pembawa keretanya memang terkenal sebagai samseng ganas.
"Kalau perlu habiskan"
Syed Husin akhirnya menyedari bahawa ianya satu cubaan membunuh selepas seorang pelajar perempuannya mendapati apa yang menimpa Syed Husin, menepati perbualan Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama kawannya. Pelajar perempuan itu sahabat rapat kepada isteri Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan berada di rumahnya untuk membantu kawannya melayan tetamu yang dijemput makan pada satu malam. Semasa mereka berbual-bual, pelajar perempuan itu bersama isteri Timbalan Menteri dibiarkan duduk mendengar sama segala perbualan.
Menurut pelajar perempuan tersebut, mereka, termasuk seorang pemimpin UMNO Kelantan tidak suka dengan kegiatan Syed Husin Ali dan perkembangan PRM di Kelantan pada ketika itu. "Beliau mendengar seorang yang hadir menekankan pendapat bahawa aku perlu diajar. Lebih kurang katanya, akan tetapi dalam loghat Kelantan, 'Kita mesti ajar dia. Kalau perlu, habiskan.'"
Itu sebabnya pelajar perempuan itu menyeru nama Allah dan beristighfar lalu berkata, "Ya Allah, betullah!" ketika ternampak tangan Syed Husin Ali berbalut akibat kecederaan. Bagaimanapun, pelajar itu meminta agar Syed Husin tidak menceritakan hal ini selagi hidup. Syed Husin hanya mendedahkan hal ini selepas pelajar ini meninggal dunia.
"Pada masa itu aku bukan berpengaruh sangat. Cabaran aku terhadap UMNO Kelantan aku sendiri rasa tidak sebesar mana. Tiap-tiap kali aku terkenangkan peristiwa ini aku teringat kepada apa yang berlaku ke atas Abdul Samad Gul dan Zulkifli Muhammad..."
"Samad ditamatkan riwayatnya dengan kapak kecil yang dikatuk atas kepalanya. Zulkifli meninggal selepas kenderaan dinaikinya dikatakan berlanggar dengan atau dilanggar oleh kenderaan lain dari depan, khabarnya di lorong Zulkifli sendiri. Aku teringat juga akan rancangan terhadap Aziz Ishak, yang terselamat hanya kerana ia dibongkar oleh pengawalnya sendiri, yang telah ditugas untuk menamatkan ceritanya."
Syed Husin Ali bimbang dengan keadaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sekarang, yang mana Pakatan Rakyat dilihat sebagai gandingan politik yang paling berkemungkinan menjatuhkan kerajaan persekutuan Barisan Nasional dalam sejarah politik Malaysia.
Anwar Ibrahim pernah berselindung di Kedutaan Republik Turki pada Jun 2008, mendakwa nyawa dirinya dalam bahaya. Pada tahun ini, pemandunya Abdullah Sani Said membuat laporan polis bahawa terdapat usaha jahat untuk mensabotaj kereta yang lazim digunakan majikannya sehingga berlaku kemalangan pada 19 April 2011.
Baca: Memoir Syed Husin: Apabila idealisme bergabung dengan kuasa
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.