Selangor Sedia Kerjasama Dengan Pusat Di Bidang Pembangunan

TOKYO, 22 NOV: Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memastikan setiap projek pembangunan berjalan lancar.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun kerajaan pusat dan kerajaan negeri mempunyai pandangan politik berbeza namun beliau tetap bersikap profesional demi memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksana demi kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan Negeri telah menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama. Saya adalah sebahagian dari Jawatankuasa Bersama antara Negeri dan Pusat untuk projek Greater Kuala Lumpur and Klang Valley dan saya telah bekerjasama dalam menyediakan tanah untuk pembangunan yang dirancang," kata beliau ketika berucap kepada pelabur Jepun yang menghadiri "The 30th Jameca - Majeca Joint Conference" di Tokyo hari ini.

Katanya kerja sama ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri memastikan projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley diuruskan dengan telus dan memberi nilai maksima kepada rakyat.

"Sebagai contoh saya mendapat tahu RM5 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan sistem pembentungan. Saya harap pemilihan syarikat dibuat secara tender terbuka kepada syarikat tempatan dan juga antarabangsa termasuklah dari Jepun.

"Ini jelas menunjukkan perbezaan politik bukan masalah bagi saya. Sebab itu saya berada di sini untuk memantau jika pelabur Jepun ada masalah supaya kita dapat mencari penyelesaian bersama," katanya yang menghadiri persidangan sehari itu sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Jepun.

No comments: