Elok lah menjelajah mencari sokongan anak-anak muda yang ramai terutamanya lepasan Universiti yang memerlukan sokongan dan bantuan, malahan mereka perlu diajak kehadapan untuk menunjukkan sokongan..
Ini termasuk di kawasan kampung dan bandar......ada cabang yang buat kerja 10 sahaja ..untuk menawan Parlimen...dan ini satu keajaiban jika cabang tersebut dapat di tawan.
Pemuda Pakatan anjur jelajah negara cari sokongan pengundi muda
KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pemuda Pakatan Rakyat (PR) akan menerbitkan filem-filem pendek dalam usaha mengukuhkan lagi sokongan pengundi muda kepada parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin langkah ini merupakan langkah terbaru untuk menambat hati golongan muda selain dari menggunakan media baru seperti facebook, Twitter dan blog.
“Melalui filem pendek ini,kami akan menyampaikan maklumat kenapa kerajaan pusat perlu ditukar pada pilihan raya umum nanti,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Ketua Pemuda PAS dan Ketua Pemuda Sosialis DAP di sini.
Katanya lagi, sungguhpun pilihan raya umum kian hampir, usaha mendekati pengundi muda belum lagi terlambat.
Sebab itu, Shamsul Iskandar berkata AMK bersama Pemuda PAS dan DAP berganding bahu menjelajah seluruh negara mendekati pengundi muda secara bersepadu.
“Jika kita bergerak berasingan, mungkin kita tidak sempat mendekati mereka seramai mungkin. Sebab itu kita bergerak bersama secara bersepadu,” katanya yang yakin majoriti 40 peratus pengundi muda masih tetap bersama Pakatan Rakyat.
Namun begitu katanya, AMK tidak mahu berpeluk tubuh dalam keadaan selesa.
“Justeru, kami akan menjelajah ke seluruh negara mendekati pengundi muda supaya mereka terus memilih Pakatan Rakyat,” katanya.
Ini adalah kali pertama AMK, Pemuda DAP dan Pemuda PAS bergerak secara bersepadu menjelang pilihan raya umum ke-13.
Seramai 4.5 juta pengundi muda atau 38.8 peratus daripada 12 juta pengundi akan menentukan kemenangan parti yang bertanding dalam pilihan raya umum ke 13 sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.
Peranan mereka amat penting dalam menentukan pembentukan kerajaan baru.
Kata Shamsul Iskandar lagi, buat kali pertama mereka akan menjelajah setiap bandar utama secara bersepadu dengan tiga Pemuda Pakatan Rakyat sekali gus supaya mesej perubahan sampai kepada pengundi muda untuk disebarkan kepada pengundi luar bandar.
Shamsul Iskandar berharap retreat di kalangan 60 ketua Pemuda Pakatan Rakyat pada 4 Disember ini di Shah Alam dapat memastikan bukan sahaja undi golongan muda bertahan, malah bertambah lagi.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan berkata, pihaknya akan mendekati seberapa ramai golongan muda termasuk mat rempit dan golongan penganggur supaya mereka dapat menerima perubahan melalui kerajaan baru.
Nasrudin menjelaskan, dalam menjelajah ke seluruh negara, mereka akan menggunakan pengangkutan awam seperti bas, komuter, LRT untuk menyampaikan mesej kepada golongan muda.