SSABM : MPN Lakukan Jenayah Akademik, Ada Agenda Tersembunyi




KUALA LUMPUR 22 SEPT : Suara Solidariti Anak Bangsa Malaysia (SSABM) mengutuk keras pendirian Majlis Profesor Negara (MPN) yang berpendirian bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

SSABM menyifatkan pendirian MPN sebagai satu jenayah akademik dan mempunyai agenda tersembunyi yang dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi yang mewakili SSABM berkata, pihaknya khuatir para akademik ditekan dan digunakan oleh pihak tertentu demi menjustifikasikan terjemahan sejarah untuk menyokong kepentingan politik mereka.

"Maka fakta sejarah sengaja diputar belitkan, perbuatan MPN ini mampu mengugat keharmonian dan kedaulatan negara,bahkan ia boleh membawa kepada khianat awam," ujar Athirah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Pas Di Kuala Lumpur hari ini.

SSABM adalah gabungan beberapa NGO yang mewakili suara anak muda Malaysia bagi mengutarakan rasa khuatir dan tidak senang atas kenyataan kontroversi MPN.

Terdahulu Jurucakap MPN, Profesor Datuk Dr Zainal Kling bersama 7 anggota MPN termasuk Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid telah bersepakat mengatakan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, sebaliknya hanya dinaungi oleh British.

Mengulas lanjut kekeliruan yang seolah-olah sengaja dimainkan pihak MPN ini, Athirah berkata kenyataan tersebut jelas mencerminkan bahawa kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pelajaran telah melakukan penghianatan dan salah didik kepada pelajar.

"Ini merupakan satu isu keselamatan dan kepentingan negara kerana upaya mendorong para warga ke satu penfitnahan nasional yang mewujudkan kegusaran di dalam masyarakat.

"Selama ini kita semua dan genarasi pelajar telah diajar dan difahamakan bahawa British adalah penjajah dan kemerdekaan dicapai pada 31 ogos 1957," tambah beliau lagi.

Justeru Athirah menggesa seluruh rakyat Malaysia yang merasakan diri mereka teraniaya akibat salah didik tampil mengemukakan saman ke atas Kerajaan Malaysia.

SSABM juga menzahirkan rasa kesal dengan tindakan MPN kerana ia secara tidak langsung menafikan pengorbanan para perjuang kemerdekaan tanah air yang mempertaruhkan nyawa menentang British.

Selain Athirah, SSABM turut diwakili oleh A.Sivarajan (PSM), Rozan Azen Mat Asip (AMK), Nor Hafizah Basaruddin (Swim) dan Wong Swee Nee (DEMA).

SSABM turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Chow Kit sejurus selepas sidang media.

Laporan itu dibuat bagi menggesa MPN khususnya Zainal Kling didakwa di mahkamah kerana secara jelas telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan ekoran menimbulkan kekeliruan dan menggangu ketenteraman awam yang mendorong atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan suatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

No comments: