Pembahagian Kerusi PR Selangor Selesai



SHAH ALAM 22 SEPT : PAS Selangor telah menetapkan setakat ini sebanyak 20 kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang dengan mengekalkan kerusi sama pada pilihan raya umum yang lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, pembahagian kerusi itu telah dibincangkan di peringkat negeri dan akan dimajukan kepada peringkat PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya.

"Jumlah kerusi itu sama, 20 bagi PAS, 21 kerusi untuk PKR dan 15 bagi DAP, perbincangan di peringkat negeri telah selesai, apa yang boleh diselesaikan di peringkat negeri telah diselesaikan, apa yang belum selesai lagi, kita serah kepada pusat untuk menyelesaikannya," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid berkata sebarang cadangan pertukaran tempat bertanding antara parti bergabung perlu dibawa ke meja rundingan pimpinan tertinggi parti jika terdapat mana-mana cadangan seperti itu.

"Seperti dalam keadaan disiplin kami, apa yang diputuskan oleh Pusat, kami akan terimanya," katanya.

Khalid dalam pada itu berharap dengan keputusan pembahagian kerusi setakat ini dapat memastikan kemenangan berpihak kepada PAS pada pilihan raya akan datang biarpun calon-calon kerusi masih belum diumumkan.

"Berdasarkan pada pengalaman beberapa tahun lepas masa pru 12, kita dapati umat Islam dapat melihat PR ini adalah lebih baik daripada BN, jadi pada pilihan raya akan datang ini, kita harap mereka dapat memberikan keyakinan yang lebih kepada PAS untuk mewakili mereka di dalam kerajaan PR," katanya.

Ditanya berhubung pembahagian kerusi PAS di peringkat parlimen pula, Khalid berkata PAS negeri akan membiarkan PAS pusat untuk memutuskan siapa yang akan bertanding di peringkat itu.

"Jumlah kerusi parlimen pun ada cadangan untuk tambah dan perkara itu akan dilakukan di peringkat pusat," katanya.

Menurut beliau lagi sebarang pertimbangan kerusi di peringkat parlimen perlu mengambilkira apa yang berlaku di negeri-negeri lain bagi memastikan kesesuaian calon.

No comments: