Jangan Manipulasi Sejarah Kerana Taksub Politik-Abu Hassan




KUALA LUMPUR 22 SEPT : Ahli akademik Prof. Abu Hassan Hasbullah menyanggah pendapat rakan sejawatnya yang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah.

Beliau berpendapat polemik sebegini timbul berikutan cubaan untuk menafikan sumbangan pejuang yang tidak mengikut arus perjuangan pihak tertentu sehingga sanggup mengubah apa yang telah berlaku.

Menurut beliau semua yang menentang penjajahan dengan cara apa sekalipun, sejak zaman Portugis di Melaka sehingga pengisytiharan kemerdekaan oleh Tuanku Abdul Rahman secara layak digelar pejuang kemerdekaan.

Dalam Forum Isu Panas Rakyat: Apa Kebenarannya Mat Indera, Tidak Dijajah dan Propaganda Umno di sini semalam, Abu Hassan mempersoalkan adakah mereka yang menentang penjajah walaupun mereka dianggap 'kerajaan' dan pentadbir pada zaman tersebut seperti Rosli Dhobi, Dol Said, Tok Janggut, Ngah Ibrahim dan lain-lain dianggap sebagai pengkhianat.

"Sebab itu saya menolak pandangan sahabat saya, guru saya sendiri. Mustahil 400 tahun ini kita tak pernah dijajah. Kalau tak dijajah, faedah apa kematian Rosli Dhobi, dalam usia semuda itu. Dia boleh jadi peguam dan mungkin jadi hakim negara. Beliau mengorbankan diri dalam usia muda menentang penjajah British. Walaupun mereka bersifat penaung dan raja kepada rakyat Sarawak waktu itu. Adakah kita kena isytiharkan Raja Brooke itu sebagai salah seorang raja
Melayu?,"soalnya di hadapan hadirin yang mengikuti forum itu.

9 September lalu, jurucakap Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Zainal Kling berkata bahawa Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, telah mencetus kekeliruan baru terhadap pemahaman sejarah di kalangan rakyat.

Bukan sahaja dilihat sebagai “fakta sejarah baru”, namun ianya juga dilihat bercanggah dengan apa yang diajar kepada rakyat dalam mata pelajaran sejarah di sekolah sejak berpuluh tahun dahulu.

Selain Zainal, beberapa pakar sejarah seperti Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam turut menegaskan perkara sama.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut menegaskan pada hakikatnya Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi penasihat mereka telah bertindak seperti seolah–olah pemerintah yang sebenar berbanding Raja–Raja Melayu.

Menurut Abu Hassan lagi, isu ini tidak boleh ditafsir secara taktikal dan teknikal kerana hakikat yang berlaku tidak dapat diubah.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana penjajah termasuk Ratu Elizabeth boleh 'terlupa' meluahkan secara bertulis hasrat untuk 'menjajah' Tanah Melayu ketika
itu.

"Saya tidak pernah terfikir mana-mana penjajah tak kira Sepanyol atau Belanda akan mengirim satu surat yang kata "bahawasanya kami datang untuk jajah awak". Bahlollah kita kalau kita tandatangani surat itu. Penjajahan boleh berlaku dengan cara berbeza,"uajranya tegas.

Beliau turut berterima kasih kepada timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu kerana berjaya membuka jalan rakyat Malaysia untuk berbincang dan mendalami sejarah negara ini dengan lebih mendalam dan terperinci.

Bagaimanapun beliau tetap kesal terhadap golongan ilmuan yang terlalu taksub dengan sikap politik mereka sehingga tidak mampu melihat sesuatu perkara secara objektif dan tidak berpihak.

"Kenapa isu Mat Indera? Kenapa isu sejarah Melayu jadi tunggang-langgang. Sekarang ini ilmuan perlecehkan ilmuan dan rakyat mula tak hormat kami hanya kerana pengucapan seorang. Kerana sikap taksub baka politik tidak berubah sedangkan dunia sudah masuk 10 tahun kurun ke 21, semua dah ada Ipad dan Iphone. Sejarah tak boleh ditipu. Ini bukan zaman pembohongan, ini zaman pembuktian,"katanya lagi.

No comments: