SHAH ALAM 19 JULAI: Pakatan Rakyat secara konsisten mengalu-alukan tindakan polis mendedahkan salah laku peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang didakwa melakukan provokasi terhadap anggota polis.
Namun menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, bukti itu tidak cukup untuk mengubah persepsi rakyat bersabit kekasaran yang dilakukan agensi itu kepada masyarakat yang berhimpun secara aman pada 9 Julai lalu.
Justeru beliau menganggap kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) akan terus terputus hubungan dengan rakyat jika berterusan menunding jari ke arah kumpulan yang rata-rata terdiri daripada golongan pertengahan dan rendah menuntut reformasi pilihan raya.
"Yang terus terhantuk ini BN sebab sampai sekarang masih belum jumpa satu jalan bagaimana untuk goncang keyakinan rakyat bahawa Bersih ini berjalan dalam keadaan aman dan berhasrat baik," ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Rafizi tidak menolak usaha pihak tertentu mencari jalan mencemuh imej perhimpunan Bersih seraya menutup tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh anggota polis pada hari kejadian.
"Hakikatnya semua orang tahu yang turun (perhimpunan) Bersih itu berniat berjalan dengan aman. Kalau tidak kerana polis mengambil pendekatan keras dan kasar, perhimpunan hari itu adalah aman dan akan diingati sebagai perhimpunan yang berbilang kaum," tambah beliau.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini meminta polis menyegerakan siasatan rakaman video untuk mempertahankan tindakan kasar agensi itu terhadap orang awam ketika perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu.
Katanya, gesaan itu dibuat bagi menangkis kecaman masyarakat termasuk media alternatif dan asing yang mendakwa polis bertindak kejam ke atas peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa.
Muhyiddin sebaliknya menunding jari ke arah rakyat yang dianggap mencetuskan provokasi terhadap anggota polis selain melontarkan kata-kata kesat.
Akhbar-akhbar pro kerajaan sehingga ke hari ini turut memainkan peranan menuduh peserta Bersih yang juga anggota Unit Amal, Abdul Razak Endut membawa pisau ketika himpunan itu dan bertindak membaling batu ke arah anggota polis menerusi sekeping foto pada 10 Julai lalu.
Namun gambar itu ternyata satu manipulasi apabila Razak sendiri tampil menceritakan apa yang berlaku pada hari tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada akhbar terbabit.
Mengulas hal itu, Rafizi berpendirian, taktik kuno Umno-BN dengan memanipulasi fakta dan imej untuk menghalalkan perbuatan kasar polis gagal memberi impak kepada rakyat.
Ini kerana menurut beliau rata-rata masyarakat terdedah kepada sumber maklumat internet yang meluas sekaligus mampu menilai antara kesahihan dan penipuan.
Katanya lagi, video yang disiarkan di laman Youtube merupakan hasil rakaman peserta-peserta yang hadir dan kebanyakkannya terdiri daripada rakyat jelata.
"Sebab itu seperti saya sebut tadi kita tidak takut dengan propaganda BN sebab ceritanya terus bertukar tanpa bukti yang dibawa kepada rakyat," katanya.
Jelasnya, walaupun terdapat segelintir masyarakat yang masih mempercayai propaganda Umno-BN namun ianya tidak akan merubah landskap politik Malaysia.
Ini kerana menurut beliau, hampir 60 peratus pengundi atas pagar bergantung kepada maklumat alternatif selain media arus perdana.
"Ada pepatah Inggeris berkata kita beri mereka lebih banyak tali, akhirnya mereka akan gantung diri sendiri. Dengan cara yang mereka buat sekarang, rakyat makin tidak yakin dengan BN sebab mereka menegakkan benang yang basah dengan jelas melalui media mereka," tambahnya lagi.