KUALA LUMPUR 19 JULAI : Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata isu-isu yang berkaitan agama lain harus diselesaikan dengan adil selain mengambil kira-kira lunas Islam.
Beliau menegaskan ajaran Islam mengajar agar hak penganut agama lain juga harus dibela dengan seadil-adilnya.
Abdullah membuat komen itu dua hari selepas kerajaan pimpinan PAS di Kedah bersetuju membenarkan pusat-pusat hiburan di Kedah meneruskan operasi pada bulan Ramadhan dengan syarat orang Islam dilarang berkunjung ke premis itu.
Tindakan itu bertujuan memelihara kemuliaan Ramadhan di samping melindungi hak peniaga bukan Islam. Bagaimanapun keputusan itu dikecam oleh akhbar kawalan Umno.
Utusan Malaysia dan juak-juak parti itu serta MCA mendakwa langkah PAS itu menunjukkan ia tunduk kepada tekanan DAP.
Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini bercadang menguatkuasakan undang-undang yang diluluskan oleh Umno-BN pada tahun 1997 tetapi tidak pernah dilaksanakan.
Peraturan itu melarang sebarang konsert dan pertunjukan hiburan ala Barat pada bulan Ramadhan.
Bagaimanapun selepas perbincangan dengan pemilik premis berkenaan, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak bersetuju membenarkan premis berkenaan beroperasi namun penguatkuasaan melarang orang Islam mengunjunginya akan diperketatkan.
Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata Islam menuntut hak penganut agama lain harus dibela dengan seadil-adilnya.
“Selain sifat muhibah yang dipupuk agama Islam, juga menjadi tanggungjawab dalam agama kita ini sifat dan amalan berpegang teguh kepada janji baik yang telah dimeterai termasuk dengan penganut-penganut agama yang lain.
“Sejarah umat Islam menjadi saksi akan kepentingan menunaikan amanah dan berpegang pada janji bukan hanya sesama umat Islam tetapi juga bukan Islam,” kata beliau dalam ucapan perasmian Seminar al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama: Pengajaran Masa Lalu, Keperihalan Semasa dan Hala Tuju Masa Depan.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Ulama Asia, Ustaz Ghani Shamsuddin menggesa rakyat di negara ini supaya tidak mudah diperkotak-katikkan oleh laporan media kawalan Umno-Barisan Nasional.
Malah nasihat beliau kepada pimpinan Pakatan Rakyat juga semoga tidak goyah dan termakan dek hasutan media yang mahu memecahbelahkan gagasan itu.
"Fitnah-fitnah itu sudah pastinya bukan bertujuan baik. Ianya dilaksana bagi menimbulkan rasa kebencian yang menebal, ketakutan supaya mereka boleh menangguk di air yang keruh untuk merialisasikan perpecahan," kata beliau.
"Jelas tujuan mereka adalah untuk melaga-lagakan, mempersenda dan menjadikan gagasan pakatan sebagai sasaran kebencian rakyat dengan tuduhan 'diperkuda' dan
'memperkuda', sedangkan kita sangat jelas siapa sebenarnya yang diperkuda, bagaimana media massa diperkuda?" soal Ghani.
Justeru menurut beliau, hal-hal seumpama itu tidak perlu dilayan dan menyeru rakyat mahupun parti politik yang teraniaya dengan pencaturan jahat kerajaan pemerintah, segera keluar dari perangkap mereka dan menumpukan kepada perjuangan dasar untuk membela nasib rakyat.
"Kejahatan, rasuah, salahguna kuasa dan penindasan terhadap rakyat yang masih belum terbela nasibnya, ini adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian daripada isu yang sengaja ditimbulkan oleh mereka sekarang walaupun ianya tidaklah satu perkara yang kecil untuk dihadapi," kata beliau.