DN Tapis Maklumat Bersih 2.0 Dalam The Economist







SHAH ALAM 19 JULAI: Demi menutup pencabulan demokrasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perhimpunan Bersih 2.0 lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menghitamkan beberapa potong ayat dalam sebuah majalah antarabangsa 'The Economist' bertarikh 14 Julai.

Tindakan tersebut dipercayai bertujuan untuk menyaring maklumat yang mendedahkan perilaku salahguna kuasa oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dengan memperalatkan polis supaya berlaku kasar terhadap peserta perhimpunan itu.

Laporan yang dipetik melalui laman blog uppercaise.wordpress bertajuk "Censored: KDN blacks out the Economist", menyatakan kementerian itu menapis laporan kejadian Bersih untuk memperlihatkan imej baik polis.

Namun cubaan itu ternyata sia-sia memandangkan peserta Bersih dan masyarakat umum telah pun memperolehi maklumat sebenar tentang kekejaman polis pada 9 Julai lalu secara online.

Malah artikel penuh bertajuk "Political affray in Malaysia: Taken to the cleaners" itu masih boleh diperolehi melalui laman web The Economist.

Menurut penulis itu lagi, kementerian seolah-olah memandang rendah pembaca majalah tersebut yang terdiri daripada golongan intelektual tempatan dan antarabangsa.

Terdapat empat ayat yang dipadamkan dari artikel tersebut yang antaranya berkaitan dengan kematian salah seorang peserta Bersih, Baharuddin Ahmad.

1. "...and one man died of a heart attack"

2. "The march itself was then banned, although the authorities offered Bersih a stadium to meet in—and then withdrew the offer."

3. "The heavy-handed police tactics have provoked a lot of anger; the government has conceded an official investigation into claims of police brutality.

4. "In one instance (caught on film), police seemed to fire tear gas and water cannon into a hospital where protesters were sheltering from a baton charge."

Tindakan KDN ini dilihat bertentangan dengan kenyataan polis semalam bahawa pihaknya telah menubuhkan enam jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan kezaliman yang dilakukan oleh polis pada Himpunan Bersih 10 hari lalu.