Putar Belit Isu Agama, Utusan Melampau

SHAH ALAM 7 MEI : Pakatan Rakyat (PR) tetap berpendirian Islam kekal sebagai agama rasmi negara ini dan tidak timbul persoalan gagasan itu akan mengambil langkah untuk mengubah statusnya jika berjaya menawan Putrajaya sekali gus menyangkal dakwaan Utusan Malaysia bahawa " Malaysia Negara Kristian".

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi nota admin blog hari ini, Utusan Malaysia bertindak melampaui batas dengan menyogok rakyat dengan berita fitnah dan hasutan apabila memainkan isu agama rasmi di Malaysia.

Malah katanya, Utusan juga telah mengetepi tanggungjawab sebagai pengamal media apabila tunduk kepada adikuasa atau pemerintah, tanpa rasa malu dengan menidakkan fakta apabila berterusan memutar belit fakta sehingga mengelirukan rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk “Kristian agama rasmi?

Laporan itu juga memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town sebagai tetamu.

Akhbar milik Umno itu mendakwa majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog.

“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.

“Jelas, Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ia hanya layak menyandang gelaran ‘Tabloid Umno’ sesuai dengan kenyataan bahawa parti itu merupakan pemegang saham sekaligus majikan mereka.

“Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan pejuang pembebasan tanah air dahulu, dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini,” tulis nota itu lagi.

Tulisan itu menambah, isu agama rasmi bagi Malaysia menjadi sasaran terbaru “aparatus pemerintah manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat.”

“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, nota berkenaan juga memuatkan penyataan bersama yang dibuat pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 September yang turut terkandung dalam Buku Jingga yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

“Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum yang dijamin Perlembagaan,” kata penyataan itu.

Penyataan itu ditandatangani Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

No comments: