GAPS Rendahkan Martabat Diri, Kata Khalid




KAJANG 6 MEI : Gagasan Anti Penyelewengan Selangor yang disokong oleh Umno, hanya merendahkan martabat diri dengan menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata Anwar tetap menjadi sandaran kerajaan negeri kerana beliau telah menjalankan tugas sebagai penasihat ekonomi dengan baik.

Khalid menyifatkan 15 dalil yang diberikan oleh Presiden Gaps Hamidzun Khairuddin untuk Anwar digugur sebagai Penasihat Ekonomi Selangor tidak masuk akal dan tidak ada kaitan dengan tugasan Ketua Pembangkang itu.

“Jadi seorang professional yang boleh memberi nilai tambah, kita ukur dengan cara nilai tambahan. Jadi saya juga berpendapat perkara berkaitan video seks ini yang sebenarnya sebahagian besarnya ialah spekulasi, oleh sebab itu, kita tidak boleh mengambil keputusan berasaskan kepada spekulasi. Jadi saya rasa saranan Gaps itu merendahkan tahap Gaps,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Khas Mesra Rakyat peringkat daerah Hulu Langat di sini, hari ini.

GAPs yang merangkumi ahli dan penyokong Umno cuba menjadikan tindakan Anwar tidak mengikut jejak ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengambil sumpah laknat bersabit video lucah itu sebagai alasan mahukan beliau dilucutkan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor. .

Beberapa mufti sebelum ini mengecam tindakan Eskay melakukan sumpah laknat kerana ia bercanggah dengan syariat Islam.

Beberapa mufti termasuk Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria menjelaskan Anwar tidak perlu melakukan sumpah mubahalah dan isu video seks itu lebih sesuai di tangani menerusi hukum Qazaf yang memerlukan penuduh untuk menampilkan bukti yang sejajar dengan syariat Islam.

No comments: