Rampas Selangor : Anwar Nasihat Najib Jangan Bongkak




KUALA TERENGGANU 7 MEI : Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Datuk Seri Najib Razak supaya jangan terlalu yakin dan angkuh untuk merampas kembali Selangor daripada pimpinan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Anwar memberi amaran kepada Perdana Menteri Najib Razak agar tidak mengamalkan "politik rampas" semata-mata untuk memerintah negara.

“Ini politik rampas tidak boleh (diamalkan), bini (isteri) orang nak rampas... Perak rampas... Selangor nak rampas... mana boleh macam ini.

“Najib jangan bongkak... insya-Allah kami akan tawan Putrajaya, kamu akan jadi ketua pembangkang yang baru,” katanya pada ceramah perdana isu-isu semasa di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di sini malam tadi.

Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira 4,000 orang itu turut menggesa supaya rakyat melakukan perubahan dan memilih Pakatan Rakyat bagi menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Laporan media semalam menyebut, Najib mahu Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13, yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”

Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja ‘senjata’ yang dimiliki mereka.

Pada pilihan raya umum 2008, selain Selangor, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan mengekalkan Kelantan di bawah pentadbiran PAS.

Namun Perak dirampas semula BN setahun kemudian.

“Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

“Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah,” kata Najib yang juga pengerusi Umno Selangor.

Jelas Anwar, Pakatan Rakyat akan mempertahankan setiap kerusi yang dimenanginya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai strategi kotor Umno-BN.

“Kita perlu pertahankan kerusi-kerusi ini, saya percaya Umno akan gunakan apa sahaja cara untuk melemahkan kita.

“Mereka (Umno-BN) kata kita bermimpi (untuk tawan Putrajaya) tapi jangan lupa kita pernah menang di Terengganu, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan, malah di Wilayah Persekutuan juga kita menang... cukuplah dengan sistem sedia ada (sekarang), kita perlukan perubahan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata, janji-janji yang terkandung dalam dasar bersama tiga parti gagasan itu yang termaktub dalam Buku Jingga akan dilaksanakan sebaik sahaja berjaya menawan Putrajaya.

Tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, setiap yang dijanjikan itu bukan janji kosong, sebaliknya ia akan dilaksanakan.

Buku Jingga yang terdiri daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan 10 inisiatif 100 hari pertama pemerintahan diperkenalkan pada konvensyen keduanya di Pulau Pinang Disember lalu.