Kekalutan Najib Melucukan




SHAH ALAM 7 MEI : Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata Pakatan Rakyat kini bertekad mempertahankan Selangor dan negeri-negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 lalu serta akan berusaha keras untuk memerintah pada peringkat kerajaan pusat.

Idris Ahmad dalam kenyataan medianya berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hendak merampas semula Selangor dengan alasan untuk membela kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang amat melucukan bagi mereka yang waras.

“PAS hendak bertanya kepada Datuk Najib yang juga pengerusi Perhubungan Umno Selangor, apakah amalan zalim apabila rakyat diberi air percuma?

“Apakah amalan zalim (jika) warga emas yang meninggal diberi wang kifalah RM2,500?” soalnya.

Najib ketika berucap pada majlis 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, Khamis lalu menggesa anggota Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu.

Beliau yang juga presiden Umno juga berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang dimiliki mereka.

"Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas... Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," kata perdana menteri.

Sehubungan itu, Idris juga meminta BN menjelaskan apakah amalan zalim yang dilakukan di Selangor sedangkan setiap bayi yang dilahirkan, keluarga mereka mendapat RM100.

Katanya PAS menasihatkan Najib supaya berterus terang kepada rakyat Selangor bahawa memberi kembali Umno BN mandat untuk memerintah Selangor semula adalah supaya pemimpin Umno dapat membaham khazanah negeri.

Ini kerana pemimpin Umno sudah tidak bermaya dan kebuluran projek.

“Beri tahu kepada rakyat Selangor jika Umno perintah Selangor, kami (pemimpin Umno) akan pastikan masjid surau mati supaya rakyat tidak memahami Islam yang syumul,” katanya.