SUPP Terdesak, Jemput MCA Bantu Kempen

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini dalam keadaan terdesak meminta bantuan daripada parti-parti komponen BN, khususnya dari Semenanjung Malaysia bagi membantu kempennya.

chua soi lek supp ceramah 120411Hadir di Kuching hari ini adalah presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek manakala setiausaha agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha telah berada di bumi kenyalang sejak beberapa hari lalu. Bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dijadualkan tiba esok.

Chua yang ditemui pada satu majlis kempennya berkata beliau secara peribadi dijemput oleh presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan bagi membantu menentang Pakatan Rakyat, khususnya DAP di kawasan bandar-bandar.

"Kita tidak mempunyai sebarang pengaruh di sini kerana tidak mempunyai sebarang cawangan tetapi atas semangat BN dan bagi menunjukkan sokongan kepada perdana menteri, kita akan semua datang membantu,” katanya.

Menurut Chua, beliau akan membantu SUPP berdasarkan pengalaman luas MCA berdepan dengan parti pembangkang itu di semenanjung.

"Mereka (SUPP) telah ditenggelamkan oleh DAP dan PKR yang telah menghantar pemimpin peringkat pertama, kedua dan juga ketiga mereka. Mereka (SUPP) tidak biasa menghadapi tindakan agresif seperti ini,” kata Chua.

Selepas Kuching, Chua akan menuju ke kubu kuat Chan di Miri yang sejak beberapa hari lalu menyaksikan jumlah kehadiran besar pada ceramah Pakatan Rakyat.

No comments: