SPR Buka Satu Pusat Undi, Pengundi Pos Merungut







KUCHING, 13 APRIL : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hanya mewujudkan satu pusat pembuangan undi pos di Parlimen Kuching, bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dipertikai banyak pihak.

Parlimen Kuching meliputi dewan undangan negeri (DUN) Satok, Demak, Laut, Tupong dan Samariang.

Seorang anggota kanan polis, Supritenden Inspektor Shamsudi Hassan berkata, hanya sebuah pusat undi pos tidak mampu menampung jumlah pengundi pos yang jumlahnya melebihi 1,000 orang, di tempat beliau bertugas.

"Tak boleh lah satu pusat pengundian (IPD) sahaja...biasanya dulu setiap setiap IPD (daerah) dan saya sendiri sejak jam 8 pagi tadi masih tak mengundi (sekarang 9.40 pagi).

"IPD sahaja lebih 1000 anggota, tak masih (polis) Marin, tentera dan yang lain-lain lagi, " Shamsudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dipusat pembuangan undi di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak, pagi tadi.

Seorang pegawai SPR memberitahu, lebih 10,000 pengundi pos berdaftar layak mengundi di pusat pengundian di pusat pembuangan undi di sini.

Mereka bukan sahaja terdiri oleh anggota polis, malah polis marin, pegawai kerajaan serta kakitangan SPR sendiri.

SPR turut membuka satu pusat membuang undi untuk tentera di Batu 7, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Namun menurut Shamsudi, SPR sepatutnya membuka pusat undi pos di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) sebagaimana dalam pilihan raya negeri ke-9, tahun 2006 lalu.

"Kami pun nak menunaikan tanggungjawab, tanggungjawab mengundi dan tugas-tugas harian kami hari ini.

"Polis pun nak perubahan, jangan kata polis tidak suka perubahan untuk Sarawak ini," ujarnya lagi.

Proses pengundian yang bermula sejak 8 pagi tadi dijadualkan berakhir pada 5 petang ini.

Sumber Jabatan Strategik PKR yang diketuai oleh Rafizi Ramli memaklumkan seramai 3,000 pengundi pos didaftar di DUN Nangka dan 1,200 pengundi lain berdaftar di DUN Senadin.

Di DUN Satok pula, lebih 500 pengundi berdaftar di DUN yang ditandingi oleh Ketua AMK Sarawak Ahmad Nazib Johari.

Begitu juga di DUN Benguh, jumlah pengundi pos juga melebihi 500 undi.

Seramai 150 pengundi pos berdaftar layak mengundi di DUN Samariang.

Dalam perkembangan yang sama, Rafizi dalam satu kenyataan media semalam meminta SPR memberi keistimewaan kepada pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia mengundi secara pos.

Ini kerana katanya, lebih 20 ribu dianggarkan berada di sana dan mustahil berpeluang pulang ke Sarawak menggunakan perkhidmatan kapal terbang dalam masa yang terhad ini.

Pengundi berdaftar secara bukan pos dijadualkan membuang undi pada 16 April ini.

Sebanyak 71 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak ke- 10 ini.