Najib : Dua Pertiga Adalah Bonus


KUCHING 13 APRIL : Perdana Menteri Najib Abdul Razak menyifatkan sebagai “bonus” jika Barisan Nasional memperolehi majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri Sawarak Sabtu ini, dalam pengakuan yang mencerminkan keresahan beliau mengenai peluang parti pimpinannya.

Najib berkata sasaran BN adalah untuk membentuk kerajaan negeri, yang hanya memerlukan kemenangan majoriti mudah.

"Kemenangan dua pertiga adalah satu sasaran yang mampu dicapai. Jika kita capainya dua pertiga itu satu markah bonus untuk wujud kerajaan yang kuat dan stabil," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Najib menjawab soalan mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam yang optimis untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dengan kemenangan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Keyakinan itu bagaimanapun dibayangi rekod kehadiran pengundi yang tinggi pada ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat di bandar dan luar bandar sejak penamaan calon pada 6 April lalu.

Malah semua stesen telivisyen dilaporkan menerima arahan untuk tidak lagi menyiarkan ceramah pembangkang yang mempunyai kehadiran tinggi.

Datuk Seri Najib akur pilihan raya Sarawak kali ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negeri ini.

Ditanya kononnya BN cuma membawa "politik Semenanjung", Najib berkata, tuduhan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan pengundi sedangkan mereka sendiri turut berkempen di Sarawak.

"Anda tengoklah sendiri Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Guan Eng juga ada di sini turun berkempen.

"Saya - mereka kata tak boleh pulak. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua, untuk ralyat Sarawak juga," katanya.

Bagaimanapun Najib tidak mengulas hakikat bahawa beliau menongkah tradisi BN meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengetuai kempen BN.

Pada pilihanraya kali ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memberi laluan kepada Najib untuk menangani sentimen rakyat Sarawak terhadap Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud yang memerintah negeri itu lebih 30 tahun.

Rekod Taib yang dibelit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa memberi harapan untuk Pakatan Rakyat menembusi beberapa kubu kuat BN khususnya di kawawasan bandar.

Walaupun sebelum ini Taib member komitmen untuk berundur selepas pilihanraya negeri, semalam beliau menegaskan akan terus memegang kuasa untuk beberapa tahun, jika BN terus diberi mandat oleh rakyat.

No comments: