HIMPUNAN 1 JUTA UMAT DI KEDUTAAN SWEDEN


Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 23 Mac — PAS dan Pakatan Rakyat bersama badan-badan bukan kerajaaan akan mengadakan Himpunan Sejuta Ummah di hadapan Kedutaan Sweden di ibu negara bagi membantah tindakan tiga akhbar negara itu menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata sempena himpunan itu juga satu memorandum bantahan berhubung perkara itu akan diserahkan kepada pihak kedutaan berkenaan.

“Mereka telah menyatakan komitmennya untuk sama-sama hadir pada perhimpunan tersebut,” katanya sambil mengalu-alukan kehadiran orang ramai tanpa mengira fahaman politik sama ada dari kalangan Islam dan bukan Islam.

Sebelum ini, dilaporkan lakaran karikatur menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing, direka oleh pelukis Sweden Lars Vilks, disiarkan akhbar Dagens Nyheter, Expressen dan Sydsvenska Dagbladet.

“Ini adalah satu penghinaan. Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bererti menghina agama Islam dan umat Islam keseluruhannya.

“Kita tidak boleh terima hakikat perbuatan melampau yang menyentuh sensitiviti melibatkan agama sebab kita sendiri yang selama ini mendokong perjuangan Islam tidak pernah menyentuh sensitiviti agama-agama lain.

“Kerajaan Sweden patut mengambil pengajaran dari Denmark yang pernah membuat penghinaan yang sama terhadap Nabi Muhammad membuatkan umat Islam seluruh dunia bangkit membantah dan memberi ancaman keras terhadap Denmark.

“Kini Sweden nampaknya mengulangi kesilapan yang sama, seolah-olah mahu mencabar atau mahu mengajak umat Islam berperang,” kata Nasrudin.

Penyiaran karikatur seumpama itu oleh akhbar negara Denmark pernah mencetuskan bantahan besar-besaran dunia Islam awal 2006 dengan membakar bendera negara berkenaan dan kedutaannya diserang di beberapa negara Islam termasuk Syria, Iran dan Lubnan bahkan barangan dari Denmark juga diboikot beberapa negara Islam.

Perhimpunan tersebut sepatutnya diadakan Jumaat lepas tetapi terpaksa ditunda ke Jumaat ini kerana masalah teknikal selain beberapa perkara tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun masa dan tempatnya dikekalkan mengikut jadual asal di mana peserta akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak sebelum memulakan perarakan ke kedutaan Sweden.

“Umat Islam digalak bersolat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Kuala Lumpur dan selepas itu berarak bagi menunjukkan kemarahan umat Islam terhadap pencabulan agama Islam,” katanya sambil menambah perbuatan akhbar di Sweden itu tidak boleh diterima sama sekali.

Dalam pada itu tambah Nasruddin, himpunan tersebut juga akan mengutuk kekejaman terbaru Zionis menindas rakyat Palestin di bumi Gaza.