PAKATAN BERSEDIA DI SARAWAK

PR Sarawak jamin sekali lagi pertandingan satu lawan satu

Tuesday, 23 March 2010 10:36 Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Pengarah Biro Pilihan Raya PKR, Fauziah Salleh memberi jaminan setiap komponen Pakatan Rakyat (PR) hanya akan bertanding satu lawan satu menjelang pilihanraya negeri akan datang kecuali ia disertai calon bebas atau calon daripada Parti Cinta Malaysia (PCM).

Fuziah yang juga Ahli Parlimen (MP) Kuantan berkata, lawatannya ke Sarawak minggu lalu untuk membincangkan persediaan serta merangka strategi bersama PR di negeri itu bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Saya sudah bertemu dengan pengarah Pusat Pilihan Raya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi menyelesaikan isu peruntukan kerusi, dan kita telah bersetuju kita tidak akan menyentuh penyandang kerusi, malah calon penyandang daripada anggota PR akan dikekalkan.

“Kedua, kita komited dengan satu lawan satu di setiap kerusi, iaitu calon PR bertanding menentang calon BN.

“Dengan cara itu kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk menewaskan BN,” kata Fuziah selepas melakukan lawatan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau turut memberitahu, perundingan sedang dijalankan dengan lancar di peringkat negeri dan keputusan muktamad terletak di tangan pihak PKR pusat.

Menurut Fuziah, komponen PR di Sarawak memiliki hubungan yang cukup erat dan ibarat satu keluarga yang cukup harmoni terutamanya selepas 8 Mac 2008.

“Kita akan mengusahakan formula dan kita mengamalkan demokrasi, sikap keterbukaan dan telus. Kita amat bersatu padu dan kita akan menjatuhkan BN.

Operasi di peringkat akar umbi terus berjalan dan semua semakin bersedia menjelang Jun ini, dan mereka sudah menyiapkan jentera dengan mengadakan latihan walaupun tarikh pilihan raya belum ditetapkan,” katanya.

PCM ejen BN

Ditanya mengenai Parti Cinta Malaysia (PCM) yang banyak mensasarkan kawasan pedalaman untuk pilihan raya akan datang, beliau menyatakan bahawa parti itu tindak menimbulkan sebarang ancaman pada PR.

“PCM hanya sebuah parti yang kecil dan jika BN tidak menjadi dalang dalam mendorong mereka untuk membuat kacau, mereka tidak mempunyai peluang dan akan pergi,” katanya

Berbalik kepada formula PR, Fuziah menegaskan bahawa mereka tidak akan mengambil kira penyandang kerusi daripada PCM.

“PR merupakan gabungan PKR, PAS, DAP dan parti-parti kecil yang lain seperti Sarawak National Party (SNAP), Sarawak Reform Party (STAR), Malaysian Dayak Congress (MDC) serta parti-prti pembangkang lain yang ingin menyertai pakatan kami.

“Sesetengah parti terutamanya parti berasaskan Dayak atau parti yang berpangkalan di pedalaman kemungkinan besar tidak sempat untuk didaftarkan (MDC) untuk pilihan raya akan datang.

Oleh itu, semua calon bebas yang ingin bertanding boleh menghubungi kami untuk berbincang tentang langkah yang betul,” kata Fuziah.

Beliau menambah bahawa keputusan mengenai peruntukan kerusi kini selesai 70 peratus, tetapi meja perundingan tetap akan dibuka sekiranya ada pertukaran di saat-saat akhir.

“Yang paling penting ialah kita tidak mahu sebarang masalah timbul menjelang pilihan raya kali ini dan mengulangi kesilapan dahulu, di mana sudah terang Pakatan Rakyat adalah parti utama pilihan rakyat,” kata Fuziah.

No comments: