Khairy Jamaluddin (KJ) membangkitkan satu persoalan yang cukup menarik ketika bercakap mengenai skandal 1MDB.
“Apakah kebaikan itu boleh menghalalkan perompakan?”
Soalan ini nampak mudah, tetapi cukup besar maknanya kalau kita tengok bagaimana masih ada pihak yang bersungguh-sungguh mempertahankan Najib Razak.
Selama ini, antara alasan yang sering kita dengar ialah Najib banyak berjasa kepada rakyat. Zaman beliau ada BR1M, bantuan kepada rakyat, projek pembangunan dan macam-macam lagi.
Tidak dinafikan, ada dasar dan sumbangan Najib yang memberi manfaat kepada rakyat. Tetapi adakah semua kebaikan itu bermakna seseorang boleh terlepas daripada tanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan?
Itulah persoalan asas yang KJ bangkitkan.
Bayangkan kalau seorang perompak mengambil wang berbilion ringgit, kemudian menggunakan sebahagian wang itu untuk membantu orang miskin, membina masjid atau memberi sumbangan kepada masyarakat.
Adakah perbuatan merompak itu tiba-tiba menjadi halal kerana dia turut melakukan kebaikan?
Tentulah tidak.
Yang menghairankan, apabila melibatkan pemimpin politik berpengaruh, tiba-tiba ada pula yang sanggup mencari bermacam-macam alasan untuk mempertahankannya.
Lebih pelik apabila ada agamawan politik yang bercakap soal pahala membantu membayar denda Najib, sedangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepatutnya ditentang tanpa mengira siapa pelakunya.
Kalau rakyat biasa mencuri, kita mahu undang-undang dikuatkuasakan. Tetapi kalau pemimpin yang disokong terlibat dalam skandal berbilion ringgit, kita sibuk mengungkit jasa dan kebaikannya.
Jadi, apa sebenarnya yang kita mahu ajar kepada anak-anak?
Bahawa mencuri itu salah, kecuali kalau orang yang mencuri itu banyak berjasa?
Sebab itulah persoalan KJ ini patut direnungkan, terutama oleh mereka yang masih menganggap kesetiaan kepada pemimpin lebih penting daripada prinsip menolak rasuah.
Kebaikan tetap kebaikan. Tetapi kebaikan tidak pernah menjadi lesen untuk menghalalkan perompakan.
#AhmadMursi

No comments:
Post a Comment