Apa maksud ‘discharge’ dalam perintah pelepasan Najib? Empat peguam beri penjelasan
Oleh Harris Nasril
KUALA LUMPUR, 7 November – Empat peguam memberi pandangan mengenai maksud perkataan 'discharge..forthwith' dalam perintah pelepasan Datuk Seri Najib Razak selepas denda RM50 juta dalam kes SRC International dibayar.
Persoalan itu timbul selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan mahkamah perlu menentukan sama ada perintah pelepasan bertarikh 6 November itu bermakna hukuman penjara Najib dalam kes SRC sudah selesai atau bakinya perlu dijalani di rumah.
Peguam Asiah Jalil berkata, Najib dikenakan dua hukuman dalam kes SRC, iaitu penjara dan denda. Pada tafsirannya, selepas denda dilunaskan, Najib masih perlu menjalani baki hukuman penjara di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Bila Najib dah bayar denda, dia 'discharged' daripada hukuman denda. Tapi dia belum 'discharged' daripada hukuman penjara,” katanya.
Peguam Faizal Rahman pula menarik perhatian kepada pihak yang menerima arahan itu. Pada dokumen berkenaan tertera dengan jelas bahawa perintah itu ditujukan kepada pegawai yang menjaga Penjara Kajang.
Menurut Faizal, mahkamah sudah memutuskan soal sabitan Najib selepas perbicaraan penuh kes SRC. Pada tafsirannya, perintah terbaharu itu memberi kuasa kepada pegawai penjara untuk melepaskan Najib dari Penjara Kajang bagi menjalani baki hukuman di rumah.
“Tanpa perintah mahkamah, mana boleh penjara lepaskan orang sesuka hati,” katanya.
Peguam Nazrul Nazir menjelaskan bahawa acquit and discharge bermaksud “lepas dan bebas”, manakala discharge not amounting to acquittal atau DNAA bermaksud “lepas tanpa bebas”.
Menurutnya, perkataan forthwith bermaksud “serta-merta”. Perkataan itu menerangkan bila arahan pelepasan perlu dilaksanakan. Dengan sendirinya, frasa discharge forthwith tidak membawa maksud mahkamah membebaskan Najib daripada sabitan SRC.
Seorang lagi peguam, Shamsuddin Nawawi, merujuk kepada tajuk penuh perintah itu, Order of Discharge on Payment of Fine. Beliau memberi contoh penggunaan perkataan discharge oleh doktor sakit puan dan petugas Indah Water Konsortium. Perkataannya sama, tetapi maksudnya bergantung pada konteks.
“Kalau bayar denda itu, discharge itu berkaitan dengan denda sahaja. Penjara kena terus jalankan,” katanya.
Menurut Shamsuddin, jika kediaman Najib sudah diwartakan sebagai penjara, di situlah beliau boleh menjalani baki hukuman. Beliau turut mempersoalkan penangguhan tahanan di rumah kerana, pada pandangannya, titah Yang di-Pertuan Agong sudah jelas.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menerusi kenyataan Istana Negara, bertitah bahawa semua syarat pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah sudah dipenuhi. Menurut kenyataan itu, sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan setelah syaratnya dipenuhi menjurus ke arah mengingkari perintah baginda.
AGC menegaskan bahawa pihaknya menjunjung titah baginda dan menolak dakwaan bahawa Peguam Negara mengingkarinya. Menurut AGC, penentuan mahkamah mengenai baki hukuman SRC penting kerana hukuman penjara Najib dalam kes 1MDB ditetapkan bermula selepas hukuman SRC selesai.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum itu meminta AGC menjelaskan asas undang-undang bagi penangguhan tahanan di rumah. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pula menyifatkan titah baginda sebagai peringatan serius mengenai penderhakaan dan menggesa supaya perintah itu dilaksanakan segera.
Dalam perkembangan sama, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, telah memohon perkenan untuk menghadap Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menjelaskan kepada baginda persoalan undang-undang yang timbul daripada perintah pelepasan Mahkamah Tinggi, khususnya kesannya terhadap tarikh Najib mula menjalani hukuman penjara dalam kes 1MDB.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, berkata Pemuda UMNO dan Pemuda PAS akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi meminta polis menyiasat dakwaan salah guna kuasa terhadap Peguam Negara berhubung penangguhan tahanan di rumah Najib.
Bercakap kepada pemberita di Merlimau, Melaka, Akmal berkata beliau sudah berbincang dengan Ketua Pemuda PAS mengenai langkah itu. Beliau mempersoalkan mengapa penjelasan undang-undang masih diperlukan pada 7 November sedangkan perintah pengampunan bersyarat itu bertarikh 18 September.
Menurut Akmal, Najib tetap perlu menjalani hukumannya. Pada masa sama, katanya, hak Najib untuk menjalani baki hukuman di rumah seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati selepas denda RM50 juta dilunaskan.

No comments:
Post a Comment