JABATAN PEGUAM NEGARA JELASKAN

 



Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil menjelaskan mengapa pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pertikaian walaupun denda RM50 juta sudah dibayar.



Rupanya, isu besar itu timbul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan Perintah Pelepasan atau Order of Discharge on Payment of Fine pada 6 November lalu.


Dalam perintah tersebut, terdapat arahan supaya Najib dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda RM50 juta.


Tetapi ada satu perkara yang menimbulkan persoalan undang-undang.


Perintah sama turut menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.


Jadi, apa sebenarnya maksud perkataan ‘dilepaskan’ itu?


Adakah Najib hanya dilepaskan daripada Penjara Kajang untuk menyambung baki hukuman SRC di rumah?


Ataupun perkataan tersebut membawa maksud keseluruhan hukuman SRC sudah dianggap selesai selepas denda RM50 juta dibayar?


Nampak macam perkara kecil, tetapi kesannya cukup besar!


Menurut AGC, jika hukuman SRC masih berjalan, Najib perlu menjalani baki hukuman tersebut mengikut Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.


Ini bermakna beliau boleh menjalani baki hukuman SRC melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pelaksanaan perintah yang sah.


Tetapi kalau mahkamah menentukan hukuman SRC sudah selesai sepenuhnya, timbul pula persoalan mengenai hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB.


Untuk rekod, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB pada Disember 2025.


Mahkamah menetapkan hukuman berkenaan bermula selepas hukuman SRC selesai dijalani.


Malah, permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman 1MDB sementara menunggu rayuan sudah ditolak pada 14 Oktober lalu.


Sebab itu, tafsiran terhadap perkataan ‘dilepaskan’ dalam perintah mahkamah menjadi begitu penting.


Kalau SRC belum tamat, Najib masih tertakluk kepada baki hukuman kes tersebut.


Kalau SRC sudah tamat, persoalan mengenai permulaan hukuman 15 tahun kes 1MDB pula perlu diputuskan.


Dalam kenyataan bertarikh 7 November, AGC menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong.


Sebaliknya, AGC mahu mahkamah menjelaskan kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan selepas pembayaran denda.


AGC turut menolak dakwaan bahawa pihaknya cuba mengambil alih kuasa pengampunan diraja atau sengaja menghalang Najib daripada menjalani tahanan rumah.


Menurut AGC, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan kuasa mahkamah menentukan kesan sesuatu perintah merupakan dua perkara berbeza.


Lebih menarik, AGC menjelaskan bahawa tindakan mendapatkan keputusan mahkamah juga penting untuk menjaga hak Najib sendiri.


Jika hukuman SRC sudah selesai, Najib tidak sepatutnya terus ditahan berdasarkan hukuman tersebut.


Namun, jika hukuman SRC masih berjalan, pelaksanaannya mesti mematuhi perintah pengampunan dan keputusan mahkamah yang berkuat kuasa.


AGC turut menegaskan bahawa usaha mendapatkan penjelasan itu bukan bermaksud menghina atau mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.


Pada masa sama, peguam Najib mempertikaikan penangguhan pelaksanaan tahanan rumah kerana berpendapat syarat pengampunan sudah dipenuhi dan perintah mahkamah perlu dilaksanakan.


Jadi, pertikaian sekarang bukan lagi mengenai sama ada Najib sudah membayar RM50 juta atau belum.


Bayaran itu sudah selesai.


Persoalan sebenarnya ialah apakah kesan undang-undang apabila perintah mahkamah menggunakan terma ‘dilepaskan’ tetapi pada masa sama menyatakan baki hukuman perlu dijalani melalui tahanan rumah.


Sebab itulah AGC mahu perkara tersebut dirujuk segera kepada mahkamah.


Mudah cerita, satu perintah pelepasan boleh membawa dua tafsiran dengan kesan yang sangat berbeza.


Satu membolehkan Najib menyambung hukuman SRC di rumah.


Satu lagi boleh menyebabkan hukuman SRC dianggap tamat, sekali gus membangkitkan persoalan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun kes 1MDB.


Itulah persoalan yang perlu diputuskan mahkamah, bukan sekadar melalui tafsiran sebelah pihak.




No comments: