Khairy Jamaluddin (KJ) pernah mengingatkan UMNO bahawa mereka yang masih mahu mempertahankan Najib dengan pelbagai alasan sebenarnya sedang menjadi liabiliti besar kepada parti itu sendiri.
KJ bukan orang luar. Dia pernah menjadi menteri dalam kerajaan Najib dan cukup faham apa yang berlaku kepada UMNO ketika skandal 1MDB meletup.
Sebab itulah kenyataannya cukup menarik.
“Mereka yang masih lagi nak sokong, nak memberi alasan, nak menafikan realiti ini. Mereka ini sebenarnya adalah liabiliti yang sangat besar terhadap UMNO.”
Tetapi tengoklah apa yang berlaku hari ini.
UMNO sanggup mengumpulkan RM50 juta untuk membantu membayar denda Najib. Pemimpin parti pula sibuk mempertahankan usaha membebaskan bekas presiden mereka itu.
Sedangkan rakyat masih ingat bagaimana skandal 1MDB menjadi antara faktor utama yang menyebabkan BN kehilangan kuasa pada PRU14.
Bayangkan, selepas semua yang berlaku, masih ada pemimpin UMNO yang seolah-olah mahu menjadikan perjuangan membela Najib sebagai agenda besar parti.
Persoalannya, sampai bila UMNO mahu terus terikat dengan masalah seorang pemimpin?
UMNO sebenarnya mempunyai ramai pemimpin lain, termasuk generasi muda yang boleh membawa parti itu ke arah baharu. Tetapi selagi nama Najib dan skandal 1MDB terus menjadi perkara yang dipertahankan, selagi itulah sukar untuk parti tersebut keluar daripada bayang-bayang masa lalunya.
Lebih malang, apabila ada pihak yang menganggap sesiapa sahaja yang mempersoalkan Najib sebagai tidak setia kepada UMNO.
Sedangkan KJ sudah lama mengingatkan bahawa kesetiaan membuta tuli itulah yang boleh menjadi beban besar kepada parti.
Kalau benar sayangkan UMNO, sepatutnya fikir bagaimana mahu memulihkan keyakinan rakyat, bukannya terus mencari alasan mempertahankan kesalahan yang telah dibuktikan di mahkamah.
KJ sudah bagi amaran. Cuma persoalannya, pemimpin UMNO mahu dengar atau terus mengulangi kesilapan yang sama?

No comments:
Post a Comment