Dulu Ong lapor SPRM, kini duduk semeja dengan Khairy… mana cerita RM30 bilion PFI?

 


Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dicabar menjelaskan pendiriannya berhubung isu Pembinaan PFI Sdn Bhd yang membabitkan pembiayaan RM30 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), selepas beliau muncul dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Cabaran itu disuarakan Exco Pemuda AMABAH Nasional, Ridhuan Esa yang mempersoalkan mengapa isu berkenaan tidak dibangkitkan ketika Ong dan Khairy membincangkan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam belanjawan negara.

“Saya ingin bertanya terus kepada Dr Ong Kian Ming, adakah apabila berada di studio Keluar Sekejap, anda sudah terlupa skandal Pembinaan PFI Sdn Bhd yang anda sendiri perjuangkan dan laporkan kepada pihak berkuasa pada tahun 2018 dahulu?” katanya menerusi Facebook.

Menurut Ridhuan, SPRM membuka kertas siasatan terhadap Pembinaan PFI pada Julai 2018 selepas Ong, yang ketika itu membangkitkan isu berkenaan, memberikan keterangan kepada pihak berkuasa. Beliau turut merujuk laporan C4 Center pada 2022 dan Laporan Ketua Audit Negara sebagai asas kepada persoalan yang dibangkitkannya.

Ridhuan mendakwa Pembinaan PFI memperoleh pembiayaan RM30 bilion melalui dua peringkat, iaitu RM20 bilion pada 2007 dan RM10 bilion pada 2012. Daripada jumlah itu, RM26.037 bilion dikatakan datang daripada KWSP, manakala RM3.963 bilion daripada KWAP.

Beliau mempersoalkan struktur pembiayaan yang menurutnya menggunakan akaun amanah di luar mekanisme belanjawan pembangunan biasa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan pemantauan Parlimen terhadap penggunaan wang persaraan rakyat.

Antara perkara yang turut dibangkitkan ialah dakwaan penggunaan 186 bidang tanah milik Kerajaan Persekutuan, termasuk kem tentera, Pangkalan TLDM Lumut, balai polis dan sekolah, sebagai sebahagian daripada mekanisme pembiayaan. Ridhuan mendakwa tanah berkenaan dipajak kepada Pembinaan PFI sebelum disewakan semula kepada kerajaan.

Menurutnya, nilai pajakan yang pada awalnya ditetapkan RM10 pada 2007 dinaikkan kepada RM5.7 bilion pada 2012, manakala nilai sewaan semula kepada kerajaan didakwa mencecah RM29.16 bilion bagi tempoh 15 tahun. Beliau mempersoalkan mekanisme yang menyebabkan kerajaan membayar sewa bagi menggunakan tanah miliknya sendiri.

Ridhuan turut merujuk pendedahan PAC bahawa RM26.16 bilion telah dibelanjakan untuk 864 projek di bawah 16 kementerian, merangkumi 525 projek PFI I bernilai RM18.92 bilion dan 339 projek PFI II bernilai RM7.24 bilion. Beliau mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus tanpa tender terbuka.

Beliau juga memetik Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang menurutnya merekodkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan sebanyak RM377.97 juta, iaitu RM48.78 juta bagi PFI I dan RM329.19 juta bagi PFI II.

Menyentuh perkembangan selepas siasatan SPRM pada 2018, Ridhuan mendakwa pinjaman Pembinaan PFI melalui proses penstrukturan semula pada 2019, namun baki liabiliti syarikat itu masih berjumlah RM26.7 bilion pada 2020 dan perlu dibayar sehingga 2027.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan pengumuman hasil siasatan atau pendakwaan terhadap mana-mana pengarah dan ahli politik berkaitan, seperti yang dibangkitkan dalam laporan C4 Center pada 2022. Ridhuan mahu Ong menjelaskan mengapa isu yang pernah dibangkitkannya itu tidak lagi mendapat perhatian selepas beliau menyertai kerajaan sebagai Timbalan Menteri.

“Lebih pelik lagi, selepas Dr Ong Kian Ming memberi keterangan kepada SPRM pada Julai 2018 dan beliau sendiri berada di dalam kerajaan ketika itu sebagai Timbalan Menteri, mengapakah isu sebesar ini tiba-tiba menjadi senyap?” katanya.

Ridhuan sekali lagi mempersoalkan mengapa Ong tidak menggunakan peluang ketika bersama Khairy untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut, termasuk kedudukan hutang dan perkembangan siasatan. 

“Rakyat berhak bertanya kepada beliau, mengapa anda tidak menuntut jawapan daripada Khairy Jamaluddin di depan mikrofon tentang hutang RM29.16 bilion Pembinaan PFI Sdn Bhd?” katanya.




No comments: