1. Apabila kita mendengar perbincangan di media sosial hari ini termasuk apabila ada pihak yang membandingkan isu hutang pesawah padi kepada broker dengan hutang peneroka FELDA, kita lihat ramai yang masih percaya bahawa punca utama FELDA jatuh merudum adalah kerana kerajaan melupuskan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion.
2. Ramai sangka peneroka FELDA ini golongan yang malas, suka meminjam sehingga RM12.6 bilion, liat membayar hutang, dan akhirnya rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang Sukuk RM9.9 bilion semata-mata untuk menyelamatkan peneroka.
2. Ini adalah satu pembohongan politik yang besar. Hakikat sebenarnya ialah pada zaman Najib Razak dan UMNO terdahulu, pengurusan FELDA dan FGV yang telah berhutang sehingga RM17.0 bilion dan meleburkan berbilion ringgit wang serta aset agensi, tetapi akhirnya warga peneroka yang dijadikan "kambing hitam" untuk menutup keruntuhan tersebut.
3. Untuk memahami bagaimana peneroka dijadikan kambing hitam, kita tidak perlu mendengar cakap-cakap politik di kedai kopi. Kita hanya perlu membuka Kertas Putih Parlimen (Kertas Perintah 6 Tahun 2019) dan Laporan Tahunan Beraudit FELDA (2014–2021). Semua bukti hitam putih ada dalam laporan berkenaan.
4. Semasa Tun Abdul Razak menubuhkan FELDA pada tahun 1956, kerajaan meminjam RM8.765 bilion daripada dana persekutuan dan Bank Dunia untuk membuka hutan serta menempatkan 112,635 keluarga peneroka di 317 rancangan. Peneroka membanting tulang membayar kembali kos tersebut, dan pada tahun 2000 , 20 tahun lebih awal daripada jadual asal , FELDA telah selesai membayar balik kesemua RM8.765 bilion hutang itu tanpa tertunggak satu sen pun.
5. Dari tahun 1996 sehingga 2011, FELDA tidak lagi menerima peruntukan mengurus daripada kerajaan. FELDA berdiri megah dengan kewangan sendiri, menjana pendapatan purata RM3.1 bilion setahun, mencatat keuntungan bersih sehingga RM1.1 bilion setahun, dan menyimpan baki tunai sebanyak RM3.9 bilion pada tahun 2011.
6. Malangnya, apabila FELDA mempunyai tunai RM3.9 bilion dan tanah ladang komersial seluas 330,000 hingga 350,000 hektar yang menjana untung bersih lebih RM1 bilion setahun, pentadbiran Najib Razak dan UMNO ketika itu melantik orang politik menjadi Pengerusi FELDA, Pengerusi FGV, Pengerusi FIC, dan pengerusi kepada hampir 20 buah anak syarikat secara serentak. Tiada lagi semak dan imbang.
7. Pada tahun 2012, Najib Razak dan UMNO melaksanakan "TRANSFORMASI" korporat dengan menyenaraikan FGV di Bursa Malaysia dan memajakkan ladang komersial FELDA kepada FGV melalui Perjanjian Pajakan Tanah (LLA). Kononnya FELDA akan menerima RM800 juta setahun daripada FGV. Sebaliknya, FELDA hanya menerima purata RM400 juta setahun, menyebabkan FELDA kehilangan aliran tunai bersih RM600 juta hingga RM800 juta setiap tahun, atau lebih RM6.0 bilion dalam tempoh sembilan tahun.
8. Melalui penyenaraian (IPO) FGV pada Jun 2012 itu, FELDA meraih tunai RM6.0 bilion dan FGV mendapat RM4.5 bilion. Apakah yang Najib Razak dan UMNO lakukan dengan wang RM10.5 bilion hasil menggadaikan masa depan ladang komersial FELDA itu?
9. Kertas Putih FELDA yang dibentang di Parlimen (muka surat 28) mendedahkan bahawa daripada RM6.0 bilion yang diterima oleh FELDA, sebanyak RM4.559 bilion (76.1%) telah dihabiskan untuk perbelanjaan tidak produktif menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Manakala FGV pula menghabiskan RM3.25 bilion (72.9%) daripada dana IPO mereka untuk membeli syarikat-syarikat yang merugikan pada harga melampau—seperti membeli Asian Plantations Ltd. pada harga RM628 juta (premium melebihi 290% di atas harga pasaran!) dan Pontian United pada harga RM1.2 bilion.
10. Akibat ketamakan dan kejahilan Najib Razak, UMNO dan pengurusan ketika itu, pelaburan FGV rugi RM1.0 bilion, keuntungan bersih FGV menjunam daripada RM1.4 bilion (2011) kepada RM208 juta (2017), harga saham FGV jatuh merudum, dan FELDA terpaksa menanggung kerugian penjejasan nilai saham FGV sebanyak RM2.1 bilion pada tahun 2017.
11. Apabila wang tunai RM6.0 bilion hasil IPO FGV telah habis dijoli oleh Najib Razak dan UMNO, pendapatan ladang komersial pula hilang akibat perjanjian LLA, bagaimana FELDA, FGV, dan FIC mahu terus berbelanja sakan membeli hotel dan hartanah di luar negara? Najib Razak dan UMNO mula paksa FELDA untuk berhutang keliling pinggang.
12. Jadual di muka surat 39 dan 40 Kertas Putih Parlimen membuktikan bahawa Kumpulan FELDA telah mengambil kemudahan pinjaman luar berjumlah RM17.0 bilion (dengan baki hutang mencecah RM12.1 bilion pada akhir 2017, berbanding hanya RM0.1 bilion pada tahun 2007).
13. Pertama, Zaman Najib Razak dan UMNO, FELDA meminjam RM6.5 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Daripada wang simpanan pekerja ini, sebanyak RM2.6 bilion disalurkan kepada FGV untuk membeli syarikat gula, Felda Iffco, serta melabur dalam syarikat di Amerika Syarikat dan Kanada (Twin Rivers Technologies dan De Graines Oleagineuses). Sebanyak RM300 juta lagi wang KWSP disalurkan kepada FIC untuk membeli Hotel Merdeka Palace di Kuching (yang kemudiannya jatuh separuh nilai), membeli Felda House & Grand Felda House di London, serta menyuntik modal ke dalam Perumahan Felda Sdn. Bhd.
14. Kedua, apabila pelaburan FGV dan FIC yang menggunakan wang KWSP itu gagal memberi pulangan untuk membayar semula jadual pinjaman KWSP, Najib Razak dan UMNO jadikan FELDA untuk mengamalkan taktik "gali lubang, tutup lubang". Pada tahun 2014 hingga 2015, FELDA terpaksa meminjam RM3.2 bilion daripada Maybank, di mana RM2.6 bilion daripadanya digunakan untuk membayar balik pinjaman KWSP, membayar balik pinjaman National Bank of Abu Dhabi bagi projek di London, dan menampung kos operasi FELDA.
15. Ketiga, pada akhir tahun 2016, Najib Razak dan UMNO tekan FELDA meminjam RM2.3 bilion daripada GovCo Holdings Berhad (syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan) untuk membeli 37% saham PT Eagle High Plantations (EHP) di Indonesia. Walaupun Lembaga Pengarah FGV dan FIC sendiri menolak pembelian itu kerana terlalu berisiko, Lembaga Pengarah FELDA yang majoritinya pemimpin UMNO tetap membelinya pada harga 344.12% lebih tinggi daripada harga pasaran ketika kelulusan dibuat. Pada tahun 2017 juga, nilai saham EHP jatuh menjunam dan FELDA terpaksa merekodkan kerugian rosot nilai sebanyak RM1.576 bilion.
16. Keempat, Kumpulan FIC dan FELDA meminjam lagi RM3.5 bilion daripada konsortium tujuh buah bank (Ambank, Bangkok Bank, CIMB, Kenanga, Maybank, UOB, OCBC) serta Affin Islamic dan Hong Leong Islamic untuk membeli aset hartanah dan menampung defisit operasi.
17. Di London, Audit Forensik Ernst & Young mendedahkan bagaimana FIC membeli Park City Grand Plaza Kensington pada harga GBP60 juta (RM331 juta) tanpa due diligence, sedangkan penjual asal hanya menjual pada harga GBP46 juta. Baki GBP14 juta lagi telah dibayar kepada sebuah syarikat di British Virgin Islands (BVI) milik dua orang bekas pengarah FIC sendiri yang modal sahamnya cuma USD5,000. Akhirnya hotel itu rosot nilai RM203.4 juta, manakala sebuah lagi apartmen di London (Grand Plaza Serviced Apartments yang dibeli pada harga GBP98 juta dengan perbezaan GBP14.3 juta tidak dapat dikesan) menyebabkan FELDA menanggung rugi operasi RM19.8 juta setiap tahun.
18. Di dalam negara pula, 24 lot tanah pusaka FELDA seluas 20 ekar di Jalan Semarak yang bernilai RM618 juta hingga RM1.06 bilion telah dipindah milik tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah FELDA kepada pemaju luar untuk projek KLVC, malah mengikat komitmen sewa pejabat bernilai RM1.5 bilion selama 20 tahun. Anak syarikat Felda Wellness Corporation pula meleburkan 100% modalnya berjumlah RM191 juta (di mana 19 kontrak bernilai RM119.6 juta diberi secara lantikan terus tanpa tender), manakala pembelian saham domestik oleh FIC dalam Encorp, IRIS, dan Barakah bernilai RM576 juta merosot tinggal RM102.7 juta (hangus RM473.3 juta). Bagaimana Lembaga Pengarah yang terdiri dari pemimoin UMNO tak tahu?
19. Akibat berhutang RM12.1 bilion untuk membiayai skandal-skandal Najib Razak dan UMNO di atas, FELDA yang dahulunya hanya membayar kos faedah RM3 juta setahun (2007–2008) terpaksa membayar faedah bank sahaja sebanyak RM260 juta hingga RM500 juta setiap tahun, sehingga mencatatkan kerugian bersih RM4.9 bilion pada tahun 2017 dan nilai aset bersihnya terhakis hampir separuh daripada RM20.3 bilion (2012) kepada RM10.5 bilion (2017).
18. Persoalannya, ketika pengurusan korporat FELDA dan FGV yang terdiri dari pemimpin UMNO pada zaman UMNO memerintah yang berhutang RM17 bilion dan meleburkan berbilion ringgit wang agensi, bagaimana pula warga peneroka yang tiba-tiba dituduh sebagai beban dan kambing hitam? Jawapannya terletak pada tiga helah pengurusan dan perakaunan yang dilakukan ke atas peneroka:
19. Helah Pertama: Melonggokkan Belanja Politik & Kegagalan Korporat Sebagai "Pembiayaan Peneroka" (RM13.1 Bilion). Setiap kali tiba musim pilihan raya (PRU-13 pada 2013 dan PRU-14 pada 2018), pemimpin politik mengumumkan pelbagai gula-gula tunai dan perumahan untuk memancing undi warga FELDA, tetapi kerajaan tidak menyalurkan geran penuh. Sebaliknya, FELDA yang dipaksa membayar dan berhutang.
20. Semasa PRU-13 (2012), Najib Razak dan UMNO umum bayaran "durian runtuh" RM1.69 bilion yang diambil daripada duit IPO FGV milik FELDA, manakala RM400 juta lagi duit IPO FGV dipinjamkan kepada peneroka untuk pembesaran rumah lalu direkodkan sebagai hutang peneroka.
21. Semasa menjelang PRU-14 (2017), ketika tunai FELDA sudah kering tinggal RM400 juta, Kertas Putih (muka surat 40) mendedahkan bahawa FELDA terpaksa meminjam RM1.5 bilion daripada Maybank semata-mata untuk mengagihkan "insentif khas kepada peneroka". Najib Razak dan UMNO yang dapat nama di pentas ceramah, FELDA yang menanggung hutang Maybank RM1.5 bilion, dan di dalam Penyata Kewangan FELDA ia dilonggokkan di bawah tajuk "Perbelanjaan Pembiayaan Peneroka" supaya rakyat menyangka peneroka yang menghabiskan wang FELDA.
22. Begitu juga dengan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF). Najib Razak dan UMNO umum peruntukan RM1.5 bilion pada 2012, tetapi sehingga 2017 hanya RM200 juta sahaja diberikan kepada FELDA. Pengurusan FELDA pula membina rumah tanpa kelulusan merancang PBT (menyebabkan kos infrastruktur naik daripada RM124 juta ke RM324 juta) pada kos RM198,000 seunit untuk dijual pada harga RM90,000 seunit, memaksa FELDA menanggung subsidi RM897 juta, meminjam KWSP RM300 juta, dan menyebabkan 42% (3,520 unit) rumah terbengkalai.
23. Helah Kedua: Kegagalan Perkhidmatan Ladang & Penyata FELDA Dibebankan Ke Atas Bahu Peneroka. Sebanyak 66% (74,310 orang) peneroka menyerahkan kebun mereka untuk diuruskan sepenuhnya oleh FELDA dan anak syarikatnya, FTPSB. Peneroka tidak menguruskan ladang itu, tetapi dipotong 100% kos operasinya.
24. FELDA menaikkan kos pembangunan tanam semula sebanyak 311% daripada RM4,500/hektar (2004) kepada RM14,000/hektar (2019), tetapi FTPSB gagal menyediakan buruh penuai selama 7 tahun berturut-turut (kurang 6,000 hingga 7,000 buruh dari 2016 hingga 2021).
25. Akibat tiada buruh, buah sawit peneroka membusuk di pokok (rugi BTS Reject RM40 juta setahun) dan hasil kebun peneroka menjadi paling corot dalam industri (jatuh ke 10.56 MT/Ha di Alor Setar dan 14.62 MT/Ha di Jengka pada 2021). Apabila FTPSB gagal menuai buah tetapi tetap memotong kos kontrak penuh setiap bulan, defisit akibat ketidakcekapan FTPSB itu terus dibukukan sebagai hutang peneroka
26. Lebih buruk lagi, FELDA gagal mengeluarkan penyata hutang yang dimuktamadkan selama 20 tahun (sehingga Penyata Kewangan 2018 menerima Pendapat Berteguran Ketua Audit Negara), dan pada tahun 2021 masih gagal mencapai KPI apabila hanya mampu mengeluarkan Penyata Interim 1 kali berbanding sasaran 4 kali setahun kerana kegagalan sistem IT (RPA) walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan.
27. Program ekonomi sampingan kendalian FELDA seperti Gedung Makanan Negara (GMN) dan Sentuhan Kasih (SKF) yang sepatutnya memberi pendapatan tambahan semasa tempoh tanam semula pula gagal teruk (hasil pisang, tilapia, dan limau kasturi hanya capai 0.2% hingga 6.7%, malah 295 ekor lembu di Chuping dijangkiti penyakit Brucellosis), manakala dana pinjaman usahawan peneroka (SIUF) yang terbukti berjaya menjana jualan RM1.79 bilion setahun atas usaha sendiri peneroka pula telah dibekukan oleh FELDA sejak Mei 2014.
28. Helah Ketiga: "Silap Mata" Perakaunan Yang Menggelembungkan Angka RM2.5 Bilion Menjadi RM12.6 Bilion. Jika kita menyemak Kunci Kira-Kira (Balance Sheet) FELDA dan Kertas Putih (muka surat 40), nilai bersih hutang peneroka yang sebenarnya boleh dikutip tidak pernah melompat, ia kekal mendatar sekitar RM2.20 bilion hingga RM3.04 bilion sahaja sepanjang tahun 2014 hingga 2021. Malah dalam tempoh 7 tahun (2015–2021), peneroka telah membayar balik RM1.86 bilion hingga RM1.98 bilion wang tunai (Bayaran Kembali + Caruman Tanam Semula) kepada FELDA.
29. Angka kasar RM12.60 bilion di dalam Nota 26 Penyata Kewangan 2020 itu hanya wujud di atas kertas selepas FELDA membuat dua kali pelarasan semula ke belakang (backdated restatement sebanyak +RM5.37 bilion), membalikkan diskaun perakaunan 13.6% selama 20 tahun, memindahkan masuk akaun ambil alih kebun (RM2.26 bilion), dan mengakru faedah kompaun 6.25% setahun, kemudian FELDA sendiri menolak RM9.62 bilion sebagai Penjejasan (hutang diragui/tidak wajar) untuk mendapatkan semula nilai bersih RM2.99 bilion.
30. Oleh sebab FELDA sudah pun menolak RM9.62 bilion sebagai peruntukan penjejasan di dalam akaunnya sehingga tahun 2020, maka apabila kerajaan melaksanakan Projek WAJAR pada Julai 2021 untuk melupuskan RM8.3 bilion rekod hutang yang bercelaru dan tidak wajar itu, kerajaan tidak mengeluarkan wang tunai RM8.3 bilion pun. Ia hanyalah pelarasan di atas kertas (non-cash write-off) bagi membersihkan rekod 20 tahun yang gagal diuruskan oleh FELDA.
31. Sebaliknya, Sukuk RM9.9 bilion yang diterbitkan dengan jaminan kerajaan pada tahun 2020 yang kini terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia adalah digunakan untuk menebus semula saham FGV di Bursa Malaysia (bagi menamatkan perjanjian LLA yang merugikan FELDA) dan untuk membayar balik hutang-hutang korporat KWSP, Maybank, serta GovCo yang dipinjam secara melulu pada zaman pentadbiran UMNO.
32. Kesimpulannya cukup jelas, FELDA telah pun rugi RM4.9 bilion dan berhutang RM12.1 bilion pada tahun 2017 zaman Najib Razak dan UMNO sebagai kerajaan. Ia adalah empat tahun sebelum penghapusan hutang peneroka dibuat pada tahun 2021. Yang meminjam RM17 bilion daripada KWSP, Maybank, dan GovCo ialah pengurusan korporat FELDA dan FGV bersama Najib Razak dan UMNO, yang meleburkan berbilion ringgit di London, Indonesia, dan Jalan Semarak ialah tangan-tangan ghaib di peringkat atasan yang terdiri dari Najjb Razak dan UMNO, tetapi yang dihukum menanggung fitnah sebagai "beban negara" ialah 112,635 peneroka yang telah membina empayar FELDA dengan titik peluh mereka sendiri.

No comments:
Post a Comment