Ada dengar tak lagi berita harga barang melambung setiap kali tiba musim perayaan? Dah jarang dengar, kan?
Kalau dulu, setiap kali nak sambut Hari Raya, Tahun Baharu Cina atau Deepavali, mesti timbul isu harga barang keperluan naik mendadak. Sejak kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, isu sebegini semakin kurang kedengaran.
Itulah antara nikmat yang kadangkala kita terlepas pandang.
Adakah harga barang akan terus meningkat? Ya. Dalam ekonomi yang sedang berkembang, kenaikan harga secara sederhana merupakan fenomena biasa. Yang penting ialah kadar kenaikan itu terkawal dan tidak membebankan rakyat seperti ketika zaman kerajaan Atap dahulu.
Inflasi sekitar 2 hingga 3 peratus lazimnya dianggap kadar yang sederhana dalam sebuah ekonomi yang sihat.
Apabila ekonomi berkembang, peluang pekerjaan bertambah, pendapatan meningkat, kuasa membeli bertambah dan permintaan terhadap barangan juga meningkat.
Sebaliknya, apabila orang ramai mula berhenti membeli, perniagaan kehilangan pelanggan dan peniaga terpaksa menurunkan harga kerana barangan tidak laku, itu boleh menjadi petanda ekonomi sedang sakit. Apabila harga barangan secara keseluruhan terus menurun, kita panggil fenomena itu deflasi.
Ada yang merungut harga barang semakin naik. Tak macam dulu. Tak semurah dulu.
Kalau nak ikut logik itu, kenapa tidak bandingkan terus dengan harga barang zaman sebelum merdeka? Ketika itu, makanan boleh dibeli dengan beberapa sen sahaja.
Pernahkah mana-mana kerajaan sejak merdeka berjaya mengembalikan harga barangan secara keseluruhan kepada paras tersebut? Tidak. Malah, tuntutan sedemikian tidak munasabah.
Apa yang sepatutnya kita tuntut daripada kerajaan ialah memastikan kadar inflasi terkawal, pendapatan rakyat meningkat, peluang pekerjaan bertambah dan kuasa beli rakyat semakin kukuh.
Kerajaan yang baik bukan kerajaan yang menjanjikan harga barang kembali seperti 30 tahun dahulu, tetapi kerajaan yang memastikan peningkatan pendapatan rakyat mampu mengatasi kenaikan kos sara hidup.
Itulah ukuran sebenar yang sepatutnya kita gunakan dalam menilai prestasi ekonomi kerajaan.

No comments:
Post a Comment