DOK DALAM NANTI TAU LA YA

 PENGALAMAN BERHADAPAN KETUA GANGSTER GEDEBE






Panas hati saya apabila menonton video seorang lelaki berusia 62 tahun dibelasah oleh seorang pemuda gedebe, sedangkan dua orang rakannya hanya memerhati tanpa berusaha menghalang perbuatan tersebut.
Lebih menyakitkan hati apabila selepas ditangkap polis dan dibawa ke mahkamah, salah seorang daripada mereka masih sempat menggenggam penumbuk di hadapan kamera, seolah-olah berbangga dengan perbuatannya. Langsung tidak kelihatan tanda-tanda keinsafan.
Sedarlah, hari ini mungkin badan kau masih kuat, kudrat masih bertenaga dan kau berasa diri hebat. Tetapi suatu hari nanti kau juga akan menjadi tua, tubuh semakin lemah dan kekuatan yang dibanggakan itu akan hilang.
Saya ingin berkongsi satu pengalaman peribadi ketika berhadapan dengan seorang ketua gangster yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua.
************
PERTEMUAN DENGAN KETUA GANGSTER
Semasa bertugas di pejabat dahulu, seorang lelaki yang tidak saya kenali datang untuk berjumpa.
Saya mempelawa beliau masuk dan duduk di kerusi tetamu.
Orangnya berbadan sado, berwajah garang dan mempunyai penampilan yang agak menakutkan.
“Nama saya Karim (bukan nama sebenar). Projek yang tuan kendalikan itu berada dalam kawasan jagaan saya,” katanya membuka bicara.
Daripada penerangannya, saya mendapat tahu bahawa Karim merupakan ketua gangster di kawasan tersebut. Semua kontraktor yang menjalankan projek di situ perlu tunduk kepada arahannya.
“Kontraktor tuan mesti bayar duit bulanan kepada saya. Saya akan pastikan projek berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” sambungnya.
Saya menjawab dengan tenang.
“Encik Karim, hal-hal seperti ini saya tidak masuk campur. Saya hanya menjalankan tugas sebagai penjawat awam untuk memastikan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.”
“Saya cuma nak beritahu tuan bahawa ini kawasan jagaan saya,” katanya dengan nada keras lagi.
“Tiada siapa berani membantah cakap saya kerana saya ada ramai kaki pukul,” tambahnya dengan penuh keyakinan.
Saya tidak begitu mengendahkan cakap besar Karim.
Sepanjang hampir 30 tahun mengendalikan projek pembangunan, saya sudah bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang baik, ada yang suka mengambil kesempatan dan tidak kurang juga yang cuba menggunakan pengaruh serta ugutan untuk mendapatkan sesuatu.
Kalau saya membuat laporan kepada pihak berkuasa sekalipun, mungkin akan menjadi satu urusan yang panjang kerana saya tidak mempunyai bukti kukuh selain daripada pengakuan dan kata-kata Karim sendiri.
Saya juga tidak bertanya kepada pihak kontraktor sama ada mereka benar-benar membayar wang perlindungan kepadanya.
Dalam dunia kontraktor, mereka memang terpaksa berurusan dengan pelbagai golongan manusia, termasuk mereka yang berada di lapisan paling bawah dalam hierarki sosial.
Apa yang penting bagi saya, semua projek di kawasan tersebut berjalan lancar dan dapat disiapkan tanpa sebarang gangguan.
LIMA TAHUN KEMUDIAN…
Lima tahun selepas pertemuan pertama, Karim muncul semula di pejabat saya.
Tetapi kali ini, penampilannya jauh berbeza.
Badannya sudah kurus, wajahnya cengkung dan kelihatan seperti seorang yang sedang menanggung penyakit serius.
Beliau terus meminta maaf.
“Saya nak minta maaf kepada Tuan Haji kerana bercakap keras dengan tuan dulu. Kontraktor-kontraktor tuan pun ada membayar duit perlindungan kepada saya. Sebab itulah projek tuan tidak diganggu oleh orang lain,” katanya.
Kemudian beliau menyambung ceritanya.
“Dulu saya memang garang dan kaki pukul. Tiada siapa berani membantah saya. Siapa tegur, saya pukul. Saya rasa saya sahaja yang betul kerana saya kuat.”
Kali ini nada suaranya jauh berbeza. Tiada lagi kesombongan seperti yang saya lihat lima tahun sebelumnya.
“Sekarang saya sudah insaf. Saya menghidap penyakit kencing manis yang kronik. Banyak organ dalam badan saya sudah rosak. Saya datang ke sini untuk meminta maaf kepada Tuan Haji dan kontraktor-kontraktor yang pernah saya aniaya,” katanya.
Saya hanya mendengar luahannya.
Barangkali apabila berhadapan dengan penyakit yang serius, Karim mula menyedari bahawa kekuatan fizikal, pengaruh dan kuasa yang pernah dibanggakannya tidak lagi membawa apa-apa makna.
Mungkin juga beliau sudah mula memikirkan tentang kematian dan ingin membersihkan kesalahan terhadap orang lain sebelum terlambat.
Sebulan kemudian, saya mendapat berita bahawa Karim telah meninggal dunia.
Umurnya baru 45 tahun.
MORAL OF THE STORY
Ketika muda, badan masih kuat dan kudrat masih bertenaga, ada antara kita yang mudah menjadi sombong dan merasakan diri sentiasa betul.
Kita berani membuli, mengugut dan memukul orang lain kerana merasakan tiada siapa mampu melawan kita.
Tetapi kita sering terlupa bahawa kekuatan fizikal itu hanyalah pinjaman sementara.
Hari ini kita mungkin gagah, esok belum tentu.
Hari ini kita boleh membuat orang lain takut kepada kita, tetapi apabila Allah menarik balik kesihatan dan kekuatan yang dipinjamkan, kita akhirnya menjadi manusia biasa yang tidak berdaya.
Jangan tunggu sehingga terlantar sakit atau menghampiri kematian barulah kita mahu menyesali segala kejahatan yang pernah dilakukan.
Kekuatan bukan lesen untuk membuli. Keberanian bukan alasan untuk menindas. Dan menjadi orang yang ditakuti tidak bermakna kita seorang yang dihormati.
Ingatlah, kita semua akan menjadi tua. Apa yang kita lakukan kepada orang lain hari ini mungkin menjadi penyesalan yang tidak sempat kita tebus kemudian hari.
Wallahu a’lam.
Ir. Hj. Zainuddin Bin Hj. Omar






No comments: