‘Selangor deserves better’ katanya, netizen sindir taman permainan di negeri Pas dipenuhi semak samun siap muncul ular tedung

 


Keadaan sebuah taman permainan kanak-kanak di Kota Bharu, Kelantan yang dipenuhi semak samun dan sampah mengundang sindiran netizen termasuk slogan ‘Selangor deserves better’.

Menerusi video Unit Cakna Komuniti HIYAZ yang tular di media sosial, sekumpulan sukarelawan bersama beberapa kanak-kanak dilihat bergotong-royong mengutip sampah dan membersihkan Taman Permainan Sri Iman di Panji, Kota Bharu.

Selain rumput yang tumbuh meliar dan tong sampah dipenuhi sisa buangan, kerja-kerja pembersihan itu dilaporkan terhenti seketika selepas sukarelawan dikatakan menemukan seekor ular tedung.

Keadaan tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai tahap penyelenggaraan kemudahan awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya membabitkan keselamatan kanak-kanak.

Malah, netizen turut membandingkan keadaan taman permainan di ibu negeri Kelantan itu dengan pengalaman mereka mengenai penyelenggaraan kemudahan awam di Selangor.

“Macam ini pun tak mampu nak jaga, lagi ‘Selangor deserves better’ katanya.

“Rumah aku pagi tadi elok saja kontraktor majlis potong rumput bagi bersih. Di Selangor ya,” tulis pengguna Threads, kikoputih001 dengan meraih lebih 1,000 tanda suka setakat ini.

Rampas Selangor

Seorang lagi pengguna, ishmael517 berkongsi pengalaman mengenai kerja pemotongan rumput di kawasan kediamannya di Selangor manakala netizen lain menyindir, “‘Selangor deserves better’ katanya! The audacity nak rampas Selangor?”

Untuk rekod, slogan ‘Selangor Deserves Better’ digunakan Pas Selangor dan turut digunakan dalam gerakan politik Perikatan Nasional (PN) negeri itu sekurang-kurangnya sejak November 2024 untuk merampas pentadbiran negeri pada PRU16 dari Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, pengguna bernama zahran_zakaria turut membangkitkan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ sambil mempersoalkan bagaimana slogan berkenaan diterjemahkan dalam pengurusan kemudahan awam untuk rakyat.

Isu tersebut turut mengundang sindiran netizen yang mengaitkannya dengan kontroversi perobohan perhentian bas di Kota Bharu yang sebelum itu telah dibersihkan dan dicat NGO terbabit.

“Risau aku kau post benda ini. Bukan apa, daripada potong rumput, nanti mereka tutup atau robohkan terus taman permainan ini,” perli warganet.

Seorang lagi pengguna, ahlami_alfabila, mendakwa terdapat banyak kawasan dipenuhi semak samun di Kelantan, selain mempersoalkan soal prosedur operasi standard (SOP) apabila masyarakat mengambil inisiatif melakukan kerja pembersihan.

Dalam pada itu, pengguna bernama bdrl.zk membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan semak samun menjadi tempat haiwan berbahaya bersarang serta mempersoalkan pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.







No comments: