Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sekali lagi mengkritik Pas secara terbuka susulan kemelut hubungan antara kedua-dua parti yang semakin berpanjangan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menerusi satu hantaran di Facebook, Tun Faisal menyifatkan pemimpin Pas sebagai ‘lebai’ yang sepatutnya berlaku adil dan mengikut ajaran Islam, namun mendakwa perkara sebaliknya berlaku selepas Pas mengambil alih kepengerusian serta pentadbiran PN.
Dalam perkongsian yang dimuat naik, beliau mendakwa Pas telah menyalahgunakan kuasa, melakukan khianat, fitnah dan menindas.
Hantaran itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus isu tertentu yang menjadi rujukan grafik berkenaan.
“Selepas kuasai PN sepatutnya lebai berlaku adil dan ikut ajaran Islam. Tapi lebai pilih salah guna kuasa, khianat, fitnah dan menindas,” katanya ringkas.
Pemimpin Bersatu itu berterusan menyerang Pas sejak kemelut hubungan kedua-dua parti, termasuk dakwaan bahawa Pas selaku peneraju PN mengetepikan Bersatu dalam beberapa urusan gabungan.
Krisis Bersatu-Pas
Hubungan Bersatu dan Pas telah lama tegang berikutan status keanggotaan Bersatu dalam PN. Abdul Hadi mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik, namun Ahmad Samsuri pada 9 Ogos berkata Bersatu masih merupakan ahli PN.
Bersatu sendiri menegaskan keanggotaannya masih sah.
Perkembangan itu akhirnya membawa Bersatu membuat aduan rasmi kepada RoS.
Kemelut itu kemudian memasuki fasa baharu apabila RoS pada 22 September mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan Bersatu.
Sehari kemudian, RoS turut mengeluarkan perintah penggantungan yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September.
Keadaan itu meletakkan PN dalam tekanan ketika hubungan antara Bersatu dan Pas masih belum menunjukkan tanda-tanda reda, dengan Bersatu terus mempertikaikan cara Pas mentadbir gabungan berkenaan.
No comments:
Post a Comment